Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana 1 Development Malaysia Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tidak mengetahui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berperanan membantu penyediaan surat agar Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) ditukar kepada Malaysia Development Berhad, 15 tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau hanya mengetahui surat itu dirangka oleh Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dengan bantuan Jho Low melalui keterangan mahkamah.

“Ketika perbicaraan, barulah saya mengetahui surat yang diberikan kepada saya itu dirangka dengan bantuan Jho Low selepas Shahrol Azral percaya wujud perbincangan di antara saya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Jho Low diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.

“Saya juga tidak pernah mengarahkan Jho Low berbincang dengan Shahrol Azral dan hanya mengetahui mengenainya ketika perbicaraan,” ujar beliau ketika membacakan pernyataan saksi.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membaca pernyataan pembelaannya bagi menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB
dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Dalam keterangannya, Najib berkata, Shahrol Azral merangka surat itu dan memberikan salinan kepada Nor Mohamed memaklumkan wujud konflik dalam TIA melibatkan pihak pengurusan dan Menteri Besar Terengganu Diperbadankan (MBTI).

Ujarnya, Shahrol Azral dalam surat itu merayu mencadangkan TIA dinamakan semula sebagai MDB mengikut model Mudabala yang merupakan dana pelaburan negara Abu Dhabi.

“Saya tidak ingat pun surat itu kerana secara khususnya ia tidak menyertakan persetujuan saya mahupun pejabat saya ketika ia dirujuk sewaktu siasatan.

“Saya juga tidak pernah berbincang dengan Jho Low atau dengan Nor Mohamed berhubung penukaran TIA kerana saya sentiasa memihak agar ia dikekalkan,” ujar beliau.

Bekas Perdana Menteri selanjutnya berkata, beliau tidak mengetahui Jho Low bertindak bagi pihak beliau dan sebarang dakwaan yang dikatakan oleh ahli perniagaan itu adalah `tidak berasas’.

Beliau juga mengaku tidak mengetahui apa-apa arahan atau tindakan yang diambil oleh Jho Low bagi pihaknya kerana beliau tidak berkomunikasi dengannya bagi mengeluarkan apa-apa arahan.

Sehubungan itu, Najib berpendirian, sebarang dakwaan bahawa Jho Low bertindak dengan ‘kelulusan’ atau `persetujuan’ beliau, adalah tidak berasas.

“Saya tidak pernah memberi kuasa kepada Jho Low untuk melaksanakan keputusan, merangka atau menyampaikan sebarang perbincangan atau pelan tindakan kepada Shahrol Azral atau atau mana-mana ahli pengurusan atau Lembaga Pengarah 1MDB,” katanya.

Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here