JOHOR BAHRU – Kerajaan menggalakkan universiti atau institusi pendidikan yang mempunyai kemampuan untuk mewujudkan kursus pengajian berteraskan Kecerdasan Buatan (AI).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan akan memberi sokongan penuh dalam usaha mewujudkan fakulti tersebut di universiti atau institusi pendidikan.
Beliau memberitahu, peranan dan usaha Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memulakan kursus pengajian bidang AI wajar di negara ini wajar dijadikan contoh kepada institusi lain.
“Ia sebagai pengembangan bakat dan memastikan modal insan dalam bidang dan industri tersebut mencukupi, selaras dengan industri AI yang kini semakin berkembang ke hadapan.
“Ini juga dapat memberikan lebih banyak maklumat dan pendedahan bidang tersebut kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Tranformasi Pembuatan Dengan Teknologi 5G dan Kecerdasan Buatan (AI) di sini hari ini.
Jelasnya, penguasaan ilmu AI perlu diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat sekali gus menjayakan Pelan Transformasi Digital yang digarapkan kerajaan.
“Negara memerlukan banyak bakat dan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi AI. Ketika ini infrastruktur sedang dibina dan negara memerlukan individu mahir untuk mengoperasikannya.
“Kalau ada tarikan terhadap aspek AI, maka ada peluang yang mencukupi untuk setiap rakyat Malaysia (yang berminat dan berbakat dalam bidang itu) mendapat pelajaran yang diperlukan untuk meningkatkan taraf dan memastikan bakat itu sentiasa ada (tidak disia-siakan),” ujarnya.
Katanya, usaha berkenaan perlu terus bergerak ke hadapan seperti yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melacarkan Fakulti AI di UTM baru-baru ini.
“Saya dimaklumkan bahawa kira-kira 100 orang pelajar kohort pertama telah dilancarkan sebulan lalu dan ini adalah tahap pertama bergerak ke hadapan.
Pada 26 September lalu, Perdana Menteri memuji usaha UTM mewujudkan Fakulti AI pertama di Malaysia dalam tempoh empat bulan.
Bulan lalu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dilaporkan berkata, pihaknya bersedia menawarkan kursus jangka pendek dalam bidang AI jika mendapat banyak permintaan.
Beliau berkata, UTM menerusi Fakulti AI (FAI) sudah menawarkan pengajian Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian bermula 29 September lalu, membabitkan pengambilan 129 pelajar sulung.- MalaysiaGazette