KUALA LUMPUR – Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) berjaya menyekat sebanyak RM19 juta daripada aktiviti penipuan secara dalam talian (scammer).
Malah sebanyak RM6 juta telah disita oleh NFCC sejak penubuhannya dengan 140,474 kes diterima termasuk 69,000 kes penipuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bayangkan, kalau tidak disekat oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dengan kerjasama Bank Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi kewangan bank dan syarikat telekomunikasi, RM19 juta akan terlepas tetapi berjaya disekat.
“Jadi, ini langkah diambil. Saya akui sebab itu undang-undang dipinda bulan Oktober, dikaji lagi oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia) dan yang dikaitkan dengan Akta Pemberi Pinjam Wang KPKT (Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan) sedang diselaraskan oleh jawatankuasa yang dipimpin oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (KSP),” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah pencegahan jenayah penipuan kewangan secara dalam talian atau secara bersemuka.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui hal tersebut sangat rumit dan dihadapi oleh semua negara di dunia.
Katanya, Malaysia mempunyai satu jawatankuasa khas di peringkat ASEAN untuk meningkatkan bidang kerjasama, memantau dan mengenal pasti langkah-langkah yang lebih baik mengatasi kecanggihan oleh penipu.
“Umpamanya, satu kes yang dilaporkan oleh polis, satu mule account oleh penagih dadah yang tidak tahu digunakan mencecah lebih RM1 bilion…maknanya, jumlah yang ditipu itu ramai,” ujarnya.
Terdahulu menjawab soalan asal Suhaizan berhubung punca kenaikan 361 kes disyaki terbabit dalam jenayah pinjaman wang tidak berlesen dalam tempoh sembilan hari bermula 4 November lalu, Perdana Menteri berkata, di Malaysia, kerugian akibat jenayah dalam talian adalah sebanyak RM1.224 bilion daripada Januari hingga Oktober 2024.
Ia termasuk apa yang digabungkan sebagai online scam, jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
Beliau menjelaskan, ia juga hasil daripada tindakan termasuk penangkapan dan rampasan terhadap sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ah long di mana modus operandinya memberikan pinjaman wang dengan pantas tetapi menetapkan kadar riba atau faedah yang tinggi.
“Masalah dihadapi ialah kerana wujudnya peranan berbeza pemberi pinjaman wang, pemungut hutang, pegawai khidmat pelanggan, ejen pengeluar wang, pemilik akaun (mule account), ejen simbah cat dan ejen edar risalah dan banner.
“Tujuh buah premis syarikat pemberi pinjaman wang berlesen telah diserbu kerana melanggar Peraturan 15A (b) Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Pelesenan) (Pindaan) 2024,” katanya. – MalaysiaGazette