Nurul Hidayah Abdullah

SERDANG – Meskipun ibunya sudah tiada namun Nurul Hidayah Abdullah berjaya melunaskan impian individu kesayangannya apabila bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Nurul Hidayah, 24, berasal dari Tangkak, Johor gagal menahan air mata apabila dapat menggengam ijazah hari ini, sekali gus  merealisasi impian ibunya untuk melihat dia bergelar mahasiswa UPM.

“Masa kecil kalau dari Tangkak ke Kuala Lumpur akan lalu UPM, arwah ibu selalu cakap kakak nanti dah besar masuk sini (UPM) ya.

“Saya anggap kejayaan hari ini atas kata-kata dan doanya sebelum dia tiada. Sebelum meninggal dia selalu kata nak tengok saya sambung belajar tapi dia tidak berkesempatan. Hari ini saya buktikan apa yang saya lalui empat tahun ini demi ibu saya,” katanya dengan nada sebak.

Ibu Nurul Hidayah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2015 selepas kematian ayahnya kerana sakit jantung pada tahun 2004.

Graduan pengkhususan Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama ini berkata, perjalanan sebagai mahasiswa UPM bukan mudah tetapi cukup berliku.

Katanya, sebagai anak yatim piatu yang tinggal bersama neneknya sejak ketiadaan ibu dan bapa, Nurul Hidayah terpaksa melakukan kerja sambilan sepanjang empat tahun di Serdang demi menyara pengajiannya.

“Belajar dan melakukan dua kerja sambilan bukanlah perkara mudah. Namun, saya  terpaksa kuat demi masa depan.

“Saya tinggal dan dijaga oleh nenek saya, sebab tidak mahu menyusahkan nenek cara terbaik adalah sepanjang belajar di sini saya bekerja, saya mengajar Bahasa Melayu Darjah 4 hingga 6. Saya kerja sambilan jadi juruwang di pasar raya, pernah juga jadi pembantu pemasaran di butik baju.

“Bukan perkara yang mudah, terkejar-kejar masa untuk bekerja dan pastikan perbelanjaan saya di sini, wang makan saya, pengangkutan dapat saya tanggung sendiri. Bila bulan ini saya nak kena capai tertentu contohnya kena beli buku atau sebagainya, saya kena pastikan saya ada duit dan mampu,” jelasnya.

Untuk memastikan poketnya cukup, selalunya Nurul Hidayah mengorbankan cuti penggal universiti untuk bekerja.

Walau bagaimanapun, Nurul Hidayah berasa untung kerana menerima sokongan tidak henti daripada ahli keluarga yang lain terutama adik lelakinya.

“Adik lelaki saya pun banyak berjasa bantu, saya sangat menghargai bantuannya memberi duit,” katanya lagi.

Tidak mahu berhenti setakat ini, gadis ini kini merancang untuk meneruskan pengajiannya ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD), dalam bidang yang sama pada masa akan datang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here