Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pegawai polis yang hadir semasa Majlis Peluncuran IPFC (IPCC, Police, Friends and Collaborators) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 3 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) untuk meningkatkan prestasi pasukan keselamatan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun, PDRM sudah pun terbukti menjadi tunggak utama kepada pertahanan dalam negeri.

“Kerajaan Madani hari ini menuntut kepada perubahan dan peningkatan dalam semua aspek. Kewujudan IPCC tidak boleh menafikan PDRM tunggak utama pertahanan dalam negeri yang memungkinkan ekonomi meningkat pelaburan masuk.

“Orang berasa tenang berjalan siang dan malam kerana kecekapan PDRM keseluruhannya,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran IPFC (IPCC, Police, Friends & Collaborators) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Abdullah.

Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai keupayaan untuk menjadi negara maju jika menjauhkan diri daripada elemen negatif dan sentimen yang sensitif.

“Saya mewakili pandangan bahawa kita mempunyai keupayaan untuk maju bukan terjebak dengan politik picisan, pergolakan kaum dan agama yang tidak membawa keuntungan.

“Kita perlu fokus kepada usaha menyelamatkan negara agar aman dan terus berkembang pesat,” katanya.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh boleh meningkatkan mutu pendidikan, kesihatan rakyat serta menjadikan negara sebagai hub semikonduktor dan AI (kecerdasan buatan) yang maju.

“Ini semua harus menjadi keutamaan kita,” tegasnya.

IPFC merupakan program bawah Pelan Strategik IPCC yang berperanan untuk merealisasikan visinya sebagai badan pemantau bebas dipercayai bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada integriti pasukan polis melalui misinya iaitu mewujudkan mekanisme aduan dan siasatan efektif, efisien dan mempertingkatkan standard kepolisan.

IPFC juga bertujuan untuk membantu memantau tata kelakuan anggota pasukan polis, melindungi hak asasi orang awam dan anggota pasukan polis, memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan dan keberkesanan IPCC serta polis lalu meningkatkan imej dan nama baik negara.

IPCC melalui platfom IPFC menyasarkan dan menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui sesi libat urus, perkongsian kepakaran, pameran, sesi meja bulat, dialog dan sebagainya.

Perdana Menteri turut mengingatkan anggota polis tidak bertolak ansur dalam memastikan keadilan dan kesejahteraan negara ditegakkan.

“Anggota PDRM perlu mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan kuasa yang berlaku. Ia adalah prasyarat untuk memastikan negara kekal aman, terkawal dan bebas daripada amalan boros, sombong, angkuh, zalim serta menekan rakyat.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka yang berkuasa lupa tanggungjawab atau menyalahgunakan kuasa dengan menindas orang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here