KUANTAN – Pahang memperoleh sebanyak RM22.67 bilion pelaburan langsung asing (FDI) menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) 15 projek bagi tahun 2022 sehingga Jun 2024.
Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Najib, tiga daripada projek dari negara China telah diluluskan lesen pengilang oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjumlah RM22,541,271.00.
“Nilai pelaburan langsung asing komited menunjukkan peningkatan ketara daripada RM11.01 bilion pada 2022 kepada RM11.666 bilion (2023).
“Bagi tahun tahun ini, pelaburan berpotensi masih dalam peringkat rundingan dan diselia oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC),” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Su Keong Siong (PH-Ketari) mengenai jumlah FDI yang dicatatkan kerajaan negeri dari tahun 2022 hingga Jun lalu dan jumlah pelaburan dari China pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.
Sementara itu, Mohamad Nizar berkata, jumlah FDI berdasarkan kelulusan lesen pengilang oleh pihak MIDA telah menunjukkan peningkatan drastik pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM886,072,566.00 berbanding 27,299,284 pada tahun 2022. – MalaysiaGazette