Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada wartawan ketika ditemubual selepas menghadiri Majlis Penutup Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani 2024 di Bangi, Selangor. Foto SADIQ SANI, 04 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 menunjukkan perncapaian positif sehingga hampir mencapai sasaran.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata, sehingga suku ketiga tahun ini, pelaksanaan HIMP 2023 telah mencapai 75 peratus bersamaan RM110 bilion daripada sasaran iaitu RM147 bilion.

“Nilai eksport halal berada pada paras RM45 bilion pada tempoh yang sama dengan sasaran RM62 bilion menjelang akhir tahun ini, manakala jumlah pelaburan kumulatif di Taman Industri Halal mencecah RM16.7 bilion daripada sasaran RM18.1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Hadir sama adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan HIMP 2030, MPIH akan memperkukuh kerjasama antara semua agensi kerajaan dan sektor swasta.

Jelasnya, fokus utama kerjasama tersebut adalah dengan membuka pasaran baharu, terutamanya di peringkat antarabangsa, serta mempertingkatkan infrastruktur pelaburan yang lebih bersepadu dan cekap.

“Selain itu, penekanan diberikan kepada sinergi dan penyelarasan yang lebih efektif untuk memastikan pembangunan industri halal berjalan lancar. Langkah ini penting untuk memperkukuh ekosistem halal negara dan memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global,” kata Ahmad Zahid lagi.

Mesyuarat sama turut mmeutuskan beberapa cadangan iaitu cadangam sebuah Badan Profesional Halal bagi menyelaras dan menentukan hala tuju strategik pembangunan profesional halal di negara ini.

Antara lain, menubuhkan MPIH di peringkat negeri yang bertujuan memperkasa dan memperluas penyertaan pemain industri dalam ekosistem halal melalui pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal dan HIMP 2030 di peringkat negeri.

Turut dicadangkan penganjuran sesi dialog dan libat urus melibatkan pemain industri, agensi kerajaan, dan pemegang taruh melalui sesi Townhall dan HIMP 2030 Open Day pada suku pertama tahun 2025 bagi memperluas komunikasi dua hala, menyelesaikan isu utama, dan mengenal pasti peluang pertumbuhan domestik dan antarabangsa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here