KUALA LUMPUR – Jumlah pendaftaran kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) kategori pembelajaran mencatatkan peningkatan ketara tahun ini, dengan tambahan sebanyak 26,878 pendaftaran baharu dari Januari hingga Oktober.
Sehingga 31 Oktober 2024, seramai 289,161 individu OKU pembelajaran telah berdaftar, berbanding keseluruhan jumlah pada tahun 2023 iaitu 262,283 orang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata perkara itu memberikan petanda baik kerana mencerminkan tahap kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa.
“Secara positifnya, lebih ramai ibu bapa ada kesedaran untuk mendaftarkan anak sebagai OKU pembelajaran dan ini akan membantu menghapuskan stigma berkaitan anak OKU.
“Namun ia juga bermakna kerajaan perlu memastikan satu modul garis panduan yang ampuh dibangunkan untuk melindungi, menyantuni dan memperkasakan golongan ini,”.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2024, di sini, hari ini.
Katanya lagi, kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi turut memainkan peranan dalam memperkasa kanak-kanak OKU melalui pembangunan modul khusus.
“KPWKM telah menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk membangunkan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU.
“Ini bertujuan memastikan keperluan khusus mereka dipenuhi dan tidak tercicir dari arus perdana,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru lebih ramai lagi ibu bapa mendaftar anak OKU bagi memastikan anak mereka tidak tercicir daripada pelbagai kemudahan dan manfaat yang disediakan oleh kerajaan.
“Saya seru supaya ibu bapa buang jauh-jauh rasa segan atau malu untuk daftarkan anak OKU.
“Kita sama-sama padamkan stigma berkaitan OKU,” katanya. – MalaysiaGazette