KUALA LUMPUR – Pengeluaran Minyak mentah dan kondensat merekodkan 41.8 juta tong pada suku ketiga 2024, turun sebanyak negatif 8.9 peratus tahun ke tahun (ST2 2024: 1.3%).

Penyusutan ini adalah disebabkan oleh kemerosotan pengeluaran minyak mentah yang jatuh dua-digit kepada negatif 14.2 peratus (ST2 2024: 0.1%).

Walau bagaimanapun, kondensat kekal positif, meningkat daripada 4.2 peratus kepada 4.6 peratus pada suku ini.

Pada masa yang sama, pengeluaran gas asli juga menyusut sebanyak 2.7 peratus tahun ke tahun berbanding 3.0 peratus pada suku sebelumnya, menghasilkan jumlah pengeluaran sebanyak 659.3 bilion kaki padu berbanding 696.8 bilion kaki padu pada suku kedua tahun 2024.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, harga purata “lifting” Berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat di Malaysia turun kepada AS$82.0 per tong pada suku ketiga 2024 berbanding AS$86.9 per tong pada suku lepas.

Begitu juga harga bagi WTI dan Brent yang menunjukkan penurunan dengan masing-masing mencatatkan AS$76.2 per tong (ST2 2024: AS$81.7 per tong) dan AS$79.8 per tong (ST2 2024: AS$84.6 per tong).

Pada suku ketiga 2024, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat adalah sebanyak RM8.2 bilion, lebih rendah berbanding RM9.4 bilion pada suku sebelumnya.

Thailand, masih kekal sebagai destinasi utama bagi eksport petroleum mentah dan kondensat untuk tiga suku tahun berturut-turut dengan RM2.4 bilion atau 29.4 peratus daripada jumlah eksport, diikuti oleh Jepun (20.6%) dan Australia (20.1%).

Sementara itu, nilai eksport keluaran petroleum bertapis berkurang kepada RM27.9 bilion pada suku ini berbanding RM29.6 bilion pada suku sebelumnya.

Singapura kekal sebagai negara destinasi utama eksport keluaran petroleum bertapis berjumlah RM7.5 bilion atau 26.8 peratus, diikuti oleh Indonesia (20.8%) dan Australia (18.7%).

Pengeluaran Minyak mentah dan kondensat menyusut 8.9 peratus pada suku ketiga tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya

Nilai eksport LNG turut mencatatkan pengurangan daripada RM13.0 billion pada suku kedua 2024 kepada RM12.7 bilion pada suku ini dengan 45.4 peratus dieksport ke Jepun, diikuti oleh Republik Korea (23.4%) dan China (22.4%).

Nilai import petroleum mentah dan kondensat menurun kepada RM14.2 bilion untuk suku ketiga 2024 berbanding dengan RM18.6 bilion yang direkodkan pada suku kedua 2024. Arab Saudi kekal menjadi negara asal utama bagi import Petroleum mentah dan kondensat, berjumlah34.6 peratus pada suku tahun ini, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (20.9%) dan Qatar (9.2%).

Sementara itu, nilai import bagi keluaran petroleum bertapis adalah RM28.7 bilion, lebih rendah daripada RM29.8 bilion yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya dengan Singapura sebagai penyumbang terbesar
(34.0%), diikuti oleh Republik Korea (12.8%) dan China (9.4%).

Walau bagaimanapun, import bagi LNG mencatatkan peningkatan kepada RM2.8 bilion (ST2 2024: RM2.2 bilion). Australia kekal sebagai negara asal utama dengan nilai import tertinggi sebanyak RM1.9 bilion atau 66.6 peratus, diikuti oleh Amerika Syarikat (19.7%) dan Papua New Guinea (6.3%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here