KUALA LUMPUR- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM108.5 juta bagi projek tebatan banjir di Sungai Kinta dan Kampar, Perak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf ban sungai di sepanjang Sungai Kinta sebagai pencegahan dan penyelesaian panjang bagi menangani risiko banjir akibat perubahan iklim yang serius.
Dalam pada itu katanya, kejadian banjir di Arena Kepayang Putra, Ipoh, baru-baru ini berpunca daripada hujan lebat luar biasa selama 13 jam, dengan taburan hujan mencecah 92.5mm di kawasan Empangan Ulu Kinta.
“Hasil siasatan awal daripada Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan bahawa hujan berterusan di sekitar Ipoh sejak hari Sabtu yang lalu telah menyebabkan paras air Sungai Kinta meningkat secara mendadak.
“Keesokan harinya, hujan yang berterusan telah menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan perumahan, menjejaskan kira-kira 200 isi rumah di kawasan Arena Kepayang Putra dan Fairpark,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga ADUN Kepayang berkata, Pasukan khidmat DAP, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Bandaraya Ipoh telah mengambil tindakan segera untuk melaksanakan operasi pembersihan selepas air banjir surut sepenuhnya hari ini.
Dalam pada itu, Kor King menjelaskan, kawasan Kinta mencatatkan taburan hujan bulanan yang melebihi purata jangka panjang pada bulan November, dengan jumlah sebanyak 370.2 mm berbanding dengan purata 298.5 mm.
Berdasarkan kategori keamatan hujan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, taburan hujan melebihi 60 mm sejam diklasifikasikan sebagai hujan sangat lebat, di mana hujan lebih daripada 60 mm dalam tempoh 2 hingga 4 jam boleh menyebabkan banjir kilat. -MalaysiaGazette