KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Selangor akan terus mengekang amalan takfiri (mengkafirkan sesama Muslim) serta politik perkauman yang jelas mampu melemahkan pembangunan negeri itu.
Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi berkata, pendekatan politik itu juga akan membantutkan perkembangan generasi pelapis ke arah generasi modal insan yang bijak dan harmoni.
Dalam masa yang sama, jelas beliau, kepimpinan PH Selangor yang baharu dibentuk akan memperkukuhkan kesepakatan dan kekuatan untuk memastikan PH Selangor sebagai peneraju Kerajaan Negeri Selangor terus menyantuni rakyat dengan dasar dan insiatif yang bermanfaat.
“Seiring penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri juga, PH Selangor membulatkan tekad untuk memperkasakan kerjasama dengan kepimpinan dan jentera Barisan Nasional (BN) baik bagi meneruskan perjalanan kerajaan mahupun untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mesyuarat Agung Tahunan PH 2024 kelmarin membuat keputusan mengekalkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PH Selangor bagi sesi 2024/2025.
Jawatan Timbalan Pengerusi 1 pula disandang oleh Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han manakala Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Izham Hashim sebagai Timbalan Pengerusi 2.
Sementara itu, Abbas menyifatkan barisan kepimpinan baharu PH Selangor yang dibentuk semalam merupakan barisan yang lengkap dan bersepadu antara ketiga-tiga parti komponen PH Selangor bagi mendepani pelbagai cabaran baharu yang bakal muncul kelak. – MalaysiaGazette