KUANTAN – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Raub, Lipis dan Jerantut ditutup sepenuhnya sejak pagi tagi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Che Ad am A Rahman berkata setakat ini hanya sebuah PPS beroperasi di Temerloh dan sebuah lagi PPS di Bera baharu dibuka petang tadi.
”Negeri Pahang yang mula dilanda banjir sejak 30 November lalu, dan hari keempat ini bertambah baik kerana 26 PPS di tiga buah daerah di Raub, Lipis dan Jerantut sudah ditutup.
”Namun air turun dari hulu iaitu dari Raub kemudian turun ke Temerloh dan setakat ini difahamkan telah sampai hingga ke Bera.
”Jadi sebahagian laluan aliran sungai berkenaan menerima impak secara terus kerana kesan daripada penurunan air tersebut,” katanya hari ini.
Justeru, Adam menasihatkan penduduk di kawasan hilir sungai untuk bersiap-siaga dengan kenaikan paras air yang dijangka turun ke Pekan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Untuk rekod, PPS di Temerloh menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga yang terjejas dipindahkan.
Manakala PPS di Bukit Gemuruh dekat Bera mula dibuka pada jam 1.30 petang tadi ekoran limpahan air Sungai Pahang dan mengakibatkan banjir di Kampung Kuala Triang. – MalaysiaGazette