Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih kerosakan awam akibat banjir yang melanda di kebanyakan negeri baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membantu membaik pulih kediaman rakyat yang terjejas menerusi ganti rugi yang munasabah.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh menyatakan perkara itu secara spesifik kerana ketika ini kerajaan memberikan peruntukkan segera dengan jumlah tersebut.

“Saya tak boleh bagi kenyataan secara spesifik kerana setakat ini peruntukan segera ini hanya RM1 bilion.

“Kita masih tunggu maklumat secara teliti keseluruhannya, sekarang nampak reda sedikit di Kelantan dan Terengganu tetapi sudah membara di Pahang dan diunjurkan di Johor juga akan terkesan.

“Tetapi saya bagi jaminan segera seperti makan minum mereka, kemudahan asas termasuk membaiki jalan-jalan rosak harus diberikan keutamaan,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang meminta jaminan perdana menteri untuk memberikan peruntukan tambahan segera bagi prasarana dan mobilasi sempadan bagi menaik taraf jalan Pengkalan Kubor ke hujung pantai dari jalan negeri ke jalan persekutuan  susulan jalan tersebut telah rosak dan memerlukan ia diperbaiki.

Mumtaz turut bertanyakan sama ada terdapat peruntukan bagi membantu membaiki kediaman rakyat yang musnah akibat bencana alam itu.

Anwar berkata, berkenaan memperbaiki jalan-jalan yang rosak pihaknya perlu menunggu laporan daripada Kementeria Kerja Raya dan Petra untuk ditimbang semula.

Sementara itu, perdana menteri memaklumkan seramai 80,000 penjawat awam daripada pelbagai agensi kerajaan telibat dalam membantu mangsa-mangsa bencana banjir di seluruh negara.

Ujarnya, ia melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Pendidikan dan banyak lagi.

Malah katanya, ia turut mendapat kerajasama daripada agensi-agensi di peringkat negeri dan juga Persekutuan dan ia merupakan petanda baik hubungan kedua-dua pihak.

”Tetapi, kita dapati GLICs sektor swasta dan NGO termasuk puluhan ribu sukarelawan sedia membantu. Pihak KSN mengetuai Skuad Insan Madan membantu isu-isu pembersihan yang dimulakan.

“Kita lihat semangat kesatuan dan ihsan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, daerah dan negeri itu luar biasa dan saya ingin rakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada mereka,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here