BATU PAHAT – Menawarkan kerja sambilan yang menjanjikan keuntungan tinggi, apabila ada yang berminat ditawarkan pula membeli barangan dan dijanjikan keuntungan 30 peratus.
Itu modus operandi dan taktik dilakukan scammer yang memperdaya mangsa menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, seorang wanita berusia 40 tahun membuat laporan polis menjadi mangsa scammer terbabit.
Menurutnya, wanita itu yang merupakan seorang peniaga membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat semalam.
“Semuanya bermula apabila mangsa melayari Facebook dan berurusan dengan seorang individu yang tidak dikenali melalui aplikasi Whatsapp pada 27 November lalu.
“Mangsa ditawarkan kerja sambilan yang menjanjikan keuntungan yang tinggi. Mangsa telah diminta untuk membeli beberapa barangan daripada laman web yang telah disediakan terlebih dahulu.
“Kemudiannya dijanjikan akan menerima keuntungan sebanyak 30 peratus setelah membeli barangan melalui laman web tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut telah memasukkan wang ke dalam tujuh akaun bank berbeza secara berperingkat-peringkat berjumlah RM123,780.00.
Beliau memberitahu, transaksi tersebut dilakukan dari 28 November lalu sehingga kelmarin.
Selepas itu ujarnya, mangsa masih lagi diminta untuk membuat pembayaran bagi mendapatkan wang keuntungan namun wanita terbabit tidak lagi mengikuti arahan suspek kerana mulai mengesyaki dirinya telah ditipu.
“Jumlah keseluruhan kerugian mangsa adalah RM123,780. Polis menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya tawaran kerja sambilan ditawarkan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi,” tambahnya.- MalaysiaGazette