KULAI – Rancangan pembangunan bawah kajian Rancangan Tempatan Kulai 2035 (RTKu 2035) dijangka menelan kos sehingga RM13.8 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kajian RTKu 2035 itu melibatkan meliputi keluasan seluas 74,700 hektar.
Jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, ini termasuk dalam visi pembangunan di kawasan Greater JB dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“RTKu 2035 bagi menggantikan Rancangan Tempatan Daerah Johor Bahru – Kulai 2025 membawa pembaharuan melalui lima teras utama dan 153 komponen pembangunan.
“Perancangan ini selari dengan matlamat ‘Pembangunan Kulai berfokus, berhubung dan bersepadu ke arah Kulai daerah berdaya huni’,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RTKu 2035 di IOI Mall Kulai, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Mohd. Fahmi Salam dan Pengarah Plan Malaysia Johor, Saidin Lateh.
Mohd Jafni berkata, teras pertama rancangan itu ialah pembangunan fizikal bersepadu memperlihatkan cadangan seperti pembaharuan semula bandar Kulai, rejuvenasi bandar Senai sebagai pintu masuk Kulai, transformasi Sungai Skudai, pemeliharaan serta pemajuan tanah rizab Melayu dan pembinaan stesen pengawasan kualiti air, paras air, dan udara secara masa nyata.
“Seterusnya adalah memacu ekonomi berdaya saing di mana cadangan pengukuhan fungsi perniagaan dan komersial tidak formal di Kulai, pelan induk perindustrian, pelancongan antarabangsa di bawah MPKu serta pembangunan hub agromakanan,” katanya.
Teras ketiga katanya, kemampanan infrastruktur memperlihatkan cadangan sistem hierarki jalan raya termasuk naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan dan pembukaan persimpangan baharu untuk menyokong pembangunan kawasan sekitar Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan Sedenak.
Menurut Mohd Jafni, rangkaian pengangkutan awam juga diambil kira dengan penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) juga cadangan pembangunan Hab Terminal Pengangkutan Wilayah Selatan yang menggabungkan semua jenis pengangkutan udara, darat dan laut.
“Ini akan menjadi pusat pengangkutan bersepadu. Selain itu terdapat juga cadangan pembinaan terminal kargo di Ladang Ayer Manis, peningkatan bekalan air Daerah Kulai, penyelesaian masalah banjir dan banjir kilat, serta pembangunan loji rawatan kumbahan serantau (RSTP),” katanya.
Bagi teras keempat, beliau berkata, iaitu teras komuniti sejahtera memberi tumpuan kepada kemudahan bertaraf daerah seperti pendidikan berprestasi tinggi, penaiktarafan hospital, kemudahan kesihatan, keselamatan, kawasan lapang, dan rekreasi.
Untuk teras kelima pula ujarnya, Aspirasi Kulai 2035 yang menekankan transformasi Kulai menjadi Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon menjelang tahun 2035.
Katanya lagi, dalam mencapai visi RTKu 2045, dijangka populasi penduduk akan melebihi 500,000 orang menjelang 2030, selaras matlamat pembangunan Kulai yang berfokus, berhubung dan bersepadu.
“RTKu 2035 juga dapat menjadikan kawasan Majlis Perbandaran Kulai ke arah yang lebih inklusif, seimbang dan mampan.
“Selain itu, ia akan menjadi rujukan utama kepada Pihak Berkuasa Tempatan dalam memacu keyakinan pelabur, pemaju dan masyarakat setempat dalam merealisasikan agenda pembangunan negara yang berdaya saing dan bertaraf global,” katanya.- MalaysiaGazette