Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baharu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, beliau tidak pernah melobi untuk mendapatkann sebarang jawatan dalam parti itu.

Tun Faisal yang juga bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata, beliau juga tidak pernah melobi untuk menjadi calon Bersatu pada pilihan raya umum di enam negeri sebelum ini, termasuk menjadi Ketua Penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan.

Ujar beliau, sejak menyertai Bersatu kira-kira setahun lalu, beliau hanya mencurahkan khidmat kepada parti itu dan Perikatan Nasional (PN) secara sukarela.

“Ini kerana saya percaya hanya Bersatu dan PN sahaja merupakan wadah terbaik untuk meneruskan perjuangan Islam dan ummah, agama, bangsa dan tanah air.

“(Ini) selepas UMNO tergelincir jauh daripada landasan perjuangan sebenar dan selepas UMNO sudah tiada dan telah menjadi UMDAP, serta tidak boleh diharapkan lagi untuk mempertahankan perjuangan Islam dan ummah, agama, bangsa, rakyat dan tanah air,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Tun Faisal turut berterima kasih kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepimpinan Bersatu dan PN yang lain kerana bersikap inklusif dengan menerima dan memberi ruang kepadanya untuk berperanan dan mencurahkan khidmat kepada parti.

“Saya amat hargai layanan yang baik daripada mereka semua,” katanya.

Sementara itu, berkenaan penerimaan ahli-ahli Bersatu lain terhadap penyertaan beliau dan kini memegang jawatan penting meskipun baru menyertai parti itu kira-kira setahun lalu, Tun Faisal berkata, beliau setakat ini bukan sahaja diterima dengan baik dalam Bersatu, tetapi juga oleh Pas dan PN.

Malah, ujar beliau, sejak sebelum PRN di enam negeri lalu, Pas juga banyak mengundangnya untuk berceramah di pentas-pentas politik parti itu.

“Setakat ini dalam Bersatu juga, selain saya diterima baik oleh ahli dan kepimpinan dalam Bahagian Putrajaya, saya juga diterima baik oleh kepimpinan Bersatu dalam Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dalam masa sama, ujar Tun Faisal, beliau juga pada pemilihan lepas telah diberi amanah untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Negeri Wilayah Persekutuan.

“Alhamdulillah setakat ini tidak pula kedengaran ada komplen dan kerjasama yang diberikan kepada saya semasa mengendalikan pemilihan parti melibatkan bahagian-bahagian di Wilayah Persekutuan amat baik,” katanya.

Khamis lalu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Tun Faisal yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya itu sebagai Ketua Penerangan baharu Bersatu bersama-sama pelantikan Datuk Seri Rina Harun sebagai Bendahari Agung parti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here