KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menekankan kepentingan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai usaha untuk menyokong kelangsungan hidup mereka.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peratus golongan OKU yang diterima bekerja terutama dalam perkhidmatan awam masih lagi tidak mencapai tahap yang memuaskan.
“Kita ada peratusan dia, sekurang-kurangnya satu peratus untuk diambil kerja dalam perkhidmatan awam tapi sekarang masih belum mencapai.
“Mungkin kerana ada di kawasan dan bangunan-bangunan yang tidak menepati keperluan OKU jadi mungkin sebab itu mereka tidak diambil.
“Selain daripada itu juga, ini merupakan tanggungjawab kita bersama, masyarakat keseluruhan untuk membuka minda dan juga memberi kesedaran kepada semua tentang perlu ada kesedaran tentang pekerjaan OKU,”.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru golongan OKU yang belum mendaftar agar segera melakukannya kerana kelebihan pendaftaran itu membolehkan komuniti berkenaan menikmati kemudahan dan keistimewaan disediakan oleh kerajaan dan swasta.
“Saya pernah pergi ke satu program di mana ramai antara mereka belum mendaftar tapi mereka tak memerlukan bantuan.
“Cuma bila saya beritahu mereka yang mereka boleh dapatkan keistimewaan seperti passport, kenderaan, tempat letak kereta yang percuma, perkara seperti ini mereka baru tahu,” katanya.
Tambah beliau, kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa terbuka untuk memberi peluang kepada mereka melakukan pendaftaran.
Selain itu, beliau juga berharap agar usaha-usaha ini berterusan dan berkesan.
“Kita tak akan berhenti di sini, apa program kita ada, kita akan membawa kaunter JKM kita di mana saja,” jelasnya – MalaysiaGazette