ALOR GAJAH – Kira-kira 10 buah keluarga di Taman Puncak Kasa Height di sini dikejutkan dengan kejadian ‘air terjun lumpur’ yang membanjiri jalan utama ke taman perumahan itu petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berpunca apabila tembok konkrit kira-kira 100 meter panjang dan dua meter tinggi dari atas bukit tiba-tiba runtuh dipercayai tidak mampu menahan arus deras dari longkang utama taman perumahan lain.
Penduduk, S. Kumaran, 48 berkata, dia terkejut apabila melihat rakaman video daripada kumpulan WhatsApp taman berkenaan memaklumkan runtuhan tembok batu yang membawa bersama banjir lumpur itu berlaku betul-betul di belakang rumahnya.
“Ketika itu saya sedang berada di luar dan bergegas pulang sambil berdoa tidak melibatkan mangsa atau kerosakan pada rumah kerana arus banjir lumpur yang mengalir memang deras.
“Sebaik sampai rumah sejam kemudian saya lihat batu tembok besar bertaburan di jalan bersama lumpur namun lega apabila tidak terkena tembok dinding rumah,”katanya ketika ditemui lewat petang semalam.
C Rajamah 47, berkata, ia adalah kejadian pertama berlaku sejak dia sekeluarga tinggal di taman perumahan itu tiga tahun lalu.
“Mujurlah juga ketika kejadian dua anak saya tiada di rumah kerana pergi kelas tambahan dan lega apabila insiden tidak melibatkan mangsa di jalan belakang rumah itu yang memang digunakan penduduk taman.
“Sebaik sampai ke rumah, saya lihat air lumpur sudah memasuki lantai belakang rumah namun tidak menyebabkan kerosakan harta benda,” katanya.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazzette pada pukul 6 petang selepas hujan mendapati sebuah jentera pengorek kaut (backhoe) dan beberapa pekerja mengambil tindakan segera membersihkan lumpur dan serpihan tembok yang pecah di atas jalan. – MalaysiaGazette