KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, tiada rancangan jahat diatur untuk menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika beliau dan keluarga dijemput menikmati percutian atas kapal mewah di perairan selatan Perancis pada 2009.
Sebaliknya, bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, percutian santai atas kapal mewah itu hanya untuk minum petang selepas memenuhi jemputan Putera Arab Saudi, Putera Turki bin Abdullah Al-Saud.
Sehubungan itu, Najib menolak dakwaan pihaknya berkomplot untuk menggelapkan berbilion ringgit wang 1MDB semasa pertemuan dengan Putera Turki dan Tarek Obaid.
Menurut Najib, percutian keluarga itu memenuhi jemputan bersiar-siar di atas kapal layar mewah dan disertai isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Nor Ashman Razak, Nooryana Najwa, dan Riza Aziz dan kenalannya Tan Sri Bustari Yusuf.
Katanya, beliau terkejut dengan jemputan itu kerana Putera Turki adalah anak kesayangan Almarhum Raja Abdullah, iaitu Raja Arab Saudi yang memerintah ketika itu.
Najib berkata, beliau malah terkejut dengan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low meskipun mengetahui pengaruhnya terhadap kerabat diraja Timur Tengah itu.
Ujar beliau, pertemuan dengan Putera Turki dan Ketua Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid itu merupakan kali pertama, namun mereka tidak pernah membincangkan rancangan jahat untuk menyeleweng dana 1MDB.
“Tidak masuk akal saya membuat rancangan jahat ketika bersama keluarga dan rakan-rakan. Jika wujud agenda tersembunyi atau niat jahat sekali pun, saya pasti tidak akan membenarkan gambar kami dirakam,” ujar beliau.
Najib, 71, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette.