GEORGE TOWN – Tujuh lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan sindiket pelaburan tidak wujud secara dalam talian diberkas sekitar Bayan Lepas dekat sini, semalam.
Dua serbuan berasingan menerusi Op Nuri itu dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan jam 10.15 malam di Jalan Merbah, Taman Sri Bayan di sini.
“Susulan tangkapan itu, kita menahan enam lagi lelaki di sebuah rumah di kawasan sama.
“Kesemua suspek berusia 26 hingga 38 tahun itu ditahan selepas disyaki terlibat kegiatan sindiket pelaburan tidak wujud yang beroperasi secara menerusi dalam talian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Turut dirampas dalam serbuan itu 162 buah telefon bimbit bersama peranti lain serta dua komputer riba yang dipercayai digunakan sindiket untuk kegiatan tersebut.
Tambah Hamzah, kesemua suspek direman bermula hari ini hingga 6 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette