Limpahan air banjir dari parit di Jalan Perindustrian Kapar-Meru, Klang.

Oleh: Dr Muhamad Yazli Yuhana

DALAM mengharungi musim banjir yang melanda negara kini, Dr. Muhamad Yazli Yuhana,
Pakar Penyakit Berjangkit dari KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital telah mengeluarkan
amaran penting mengenai risiko penyakit bawaan banjir.

Ancaman penyakit berjangkit

Menurut Dr. Muhamad Yazli, bencana banjir membawa risiko tinggi terhadap penularan
beberapa penyakit berjangkit. Penyakit seperti Leptospirosis, Melioidosis, dan Typhoid Fever menjadi ancaman utama.

1. Leptospirosis: Penyakit ini disebabkan oleh bakteria yang terdapat dalam air kencing
tikus. Manusia boleh dijangkiti jika terdedah kepada air yang tercemar.

2. Melioidosis: Penyakit ini disebabkan oleh kuman yang berada dalam tanah yang
terdedah akibat banjir. Kuman ini boleh masuk ke dalam tubuh melalui luka atau dengan
meminum air yang tercemar.

3. Typhoid Fever (Demam Kepialu): Penyakit ini berpunca daripada pembuangan najis
yang tidak terurus, dan ia boleh merebak melalui air yang tercemar.

Gejala dan tanda-Tanda

Dr. Muhamad Yazli mengingatkan gejala awal yang mungkin dialami oleh individu
yang terdedah kepada kuman-kuman ini termasuk:

• Demam yang berpanjangan selama dua hingga tiga hari.
• Cirit-birit, yang mungkin disebabkan oleh jangkitan demam kepialu.
• Gejala seperti menggigil dan kesukaran bernafas, terutamanya bagi mereka yang
terdedah kepada Leptospirosis atau Melioidosis.
• Sakit perut dan muntah juga boleh menjadi tanda jangkitan.

Langkah-langkah pencegahan

Dalam menghadapi risiko ini, Dr. Muhamad Yazli menekankan beberapa langkah
pencegahan yang perlu diambil:

• Elakkan pendedahan: Jika kawasan anda berisiko banjir, lakukan persediaan awal
dan elakkan pendedahan kepada air banjir.

• Kebersihan Diri: Pastikan untuk membersihkan diri dengan teliti selepas terdedah
kepada air banjir. Ini termasuk mencuci tangan dan menjaga kebersihan tubuh.

• Penjagaan Luka: Jika anda mempunyai luka yang terdedah, pastikan ia ditutup
dengan baik sebelum bersentuhan dengan air banjir.

• Kebersihan Persekitaran: Sebelum berlaku banjir, pastikan persekitaran rumah
dalam keadaan bersih untuk mengurangkan risiko penyakit.

Kesedaran untuk kanak-Kanak

Dr. Muhamad Yazli juga menekankan pentingnya melindungi anak-anak dari bermain di
kawasan air banjir. Kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan, dan langkah pencegahan perlu diambil untuk memastikan keselamatan mereka.

Penting bagi semua pihak untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan melaksanakan
pencegahan yang berkesan selepas banjir. Dengan kesedaran dan tindakan yang betul, kita dapat mengurangkan risiko penularan penyakit bawaan air dan melindungi kesihatan
masyarakat.

 

Penulis adalah Pakar Penyakit Berjangkit
KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here