KUANTAN – Sebanyak 107 daripada 217 projek pembangunan bekalan air Negeri Pahang Fasa 1 berjaya disiapkan sehingga September lalu, kata Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menteri Besar Pahang itu berkata, sebanyak 33 projek dalam pembinaan dan 77 projek lagi di peringkat pra-pembinaan.
Menurutnya, pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah membuat perancangan yang teliti bagi menyelesaikan isu bekalan air di setiap daerah di Negeri Pahang.
”Satu sesi ‘Task Force’ lawatan ke semua daerah Negeri Pahang yang diketuai oleh saya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah dilaksanakan bagi mengumpul maklumat permasalahan bekalan air dan merangka cadangan penyelesaian.
”Melalui lawatan ‘Task Force’ berkenaan, satu rangka kerja telah dibuat bagi menyelesaikan masalah ini serta perkembangan pelaksanaan oleh PAIP dari masa ke masa sentiasa dipantau oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khairulnizam Mohamad Zuldin (BN- Kemayan) mengenai masalah gangguan bekalan air di negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Wan Rosdy berkata, pelbagai inisiatif projek bagi menyelesaikan masalah blackspot di seluruh negeri telah dirangkum dan peruntukan dana pembiayaan rentas agensi.
Ia termasuk daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB, peruntukan dalaman PAlP, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Tegasnya, PAIP kekal komited untuk terus menambah baik mutu perkhidmatan bekalan air di seluh Negeri Pahang.
Sehingga kini, PAIP telah menukar paip usang sepanjang 154 kilometer di negeri ini.
Kerja-kerja penukaran 186 kilometer paip usang lagi sedang dilaksanakan dan akan terus dilakukan sehingga 2026. – MalaysiaGazette