PUTRAJAYA – Portal Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) melaporkan seramai 63,728 mangsa banjir dan 19,558 keluarga ditempatkan di 219 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat negeri setakat jam 11 pagi tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara keseluruhan, jumlah mangsa hingga kini adalah 135,706 orang.
“Ini adalah jumlah tertinggi dalam catatan sejarah. Sembilan negeri terlibat dengan 957 PPS dibuka.
“Kebimbangan kini ialah kemungkinan gelombang kedua banjir, seperti yang diramalkan oleh MAT Malaysia. Mudah-mudahan, insya-Allah, kita dapat mengawalnya.
“Ketika ini, banjir telah mulai surut sedikit di Kelantan dan Terengganu tetapi meningkat di Pahang serta beberapa kawasan di Johor,” katanya berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri melahirkan rasa terharu dengan komitmen semua pihak termasuk anggota keselamatan dan masyarakat sivil yang membantu mangsa banjir.
“Saya membaca laporan bahawa tentera, polis, bomba, APM, ATM, dan semua agensi lain, melibatkan seramai 80,000 orang.
“Terdapat juga sokongan daripada masyarakat sivil, pihak korporat, dan individu.
“Seorang rakan dari Bukit Mertajam, walaupun hanya usahawan kecil, berjaya mengumpulkan 10 lori besar barang makanan untuk dihantar ke Kelantan,” katanya.
Lebih terharu katanya, apabila semua kaum dan agama berganding bahu membantu rakyat tanpa mengira perbezaan.
“Kadang-kadang, kita hanya mendengar isu perkauman dan perbezaan agama, tetapi kisah seperti ini menunjukkan keindahan perpaduan kita.
“Persiapan jentera bantuan, yang telah dirancang sejak 2-3 bulan lalu, melibatkan APM, ATM, dan pelbagai agensi lain.
“Walaupun tidak sempurna, usaha ini membuktikan komitmen tinggi dari semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette