Calon SPM yang terjejas banjir dipindahkan ke asrama. foto Facebook Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Sebanyak 99 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hadir pada hari pertama Ujian Bertutur Bahasa Melayu (BM) di seluruh negara semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu menunjukkan kelancaran Ops Payung yang dilaksanakan bagi menyelamat dan memastikan calon peperiksaan berkenaan dapat hadir walaupun terjejas banjir.

“Saya ingin tegaskan hari ini kita dapat laporan kehadiran anak-anak bagi SPM yang bermula semalam adalah 99 peratus. Ini menunjukkan proses menyelamat dan pembugaran emosi yang dilaksanakan berjaya.

“Ia tidak capai 100 peratus kerana mereka (calon terjejas banjir) akan ambil peperiksaan ini sama ada esok atau 5 Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Fadhlina berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan bagi memastikan baki satu peratus calon SPM yang belum menduduki ujian lisan BM untuk hadir hari ini atau esok.

“Setakat ini, hanya calon SPM di sebuah sekolah di Rantau Panjang (Kelantan) yang terjejas banjir dan diberikan pilihan untuk menduduki ujian lisan BM sama ada hari ini, esok atau Khamis.

“Semasa proses menyelamat dijalankan, kita sudah menjangkakan ada calon yang tercicir bagi menghadiri ujian lisan yang diadakan mulai semalam,” katanya.

Justeru katanya, peperiksaan tersebut dianjakkan bagi pelajar yang tercicir supaya tidak timbul isu tidak dapat hadir.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) dan Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang ingin tahu sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang mengadakan sidang kedua bagi calon mangsa banjir, Fadhlina berkata, terlalu awal untuk perkara itu dibincangkan.

“Tumpuan KPM ketika ini adalah mengambil tindakan wajar berdasarkan situasi bencana banjir semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here