Datuk N Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK) mahu Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), khasnya Seksyen 29 diteliti semula, susulan kejadian seekor anjing terbiar dan enam anaknya dipukul sehingga mati di kawasan SMK Bandar Baru, Sungai Buloh baru-baru ini,

Penaung dan Presiden DSK, Datuk Sivakumar Nadarajah yang terkejut dengan kejadian itu berkata, akta tersebut perlu diteliti kerana kes seumpama itu sudah berulang kali berlaku sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, akta ini memperuntukkan hukuman maksimum denda RM100,000 dengan penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya bagi pesalah sabit salah menganiaya haiwan.

“Pelaku-pelaku ini berani melakukan perbuatan seperti ini kerana penguatkuasaan undang-undang sedia ada masih lemah. Walaupun ada kalanya masyarakat melahirkan rasa marah dan kecewa dengan kes-kes tertentu namun tindakan tegas masih lagi jarang diambil.

“Hukuman sedia ada juga tidak begitu menggerunkan sehingga menyebabkan insiden menganiya berlaku hampir setiap hari. Jadi timbul persoalan adakah berkesan akta dan undang-undang ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sivakumar yang juga Bendahari Agung MIC juga menyarankan supaya talian khas ‘MyAnimalWelfare’ yang sebelum ini dibangunkan untuk mengurus aduan berkaitan kebajikan haiwan dipromosikan dan dinaiktaraf.

“Ramai tidak tahu tentang kewujudan talian khas ini. Ia perlu menjadi lebih mesra pengguna, dan laporan yang dihantar mesti diberi maklum balas dalam tempoh 24 jam supaya pengadu tidak merasa usaha mereka sia-sia,” ujarnya.

Dalam pada itu, satu lagi cadangan dilontarkan Sivakumar agar Jabatan Perkhidmatan Veterinar, yang kini di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dipindahkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kata beliau, langkah ini jauh lebih berkesan untuk meningkatkan kepatuhan rakyat terhadap undang-undang kebajikan haiwan.

“Jika jabatan ini diberi kuasa penguatkuasaan seperti badan beruniform, ia dapat mengubah sikap masyarakat yang sering mengambil mudah isu kebajikan haiwan. Apa yang terjadi di luar pagar sekolah di Sungai Buloh ini sangat mengganggu fikiran.

“Hentikan sikap sambil lewa terhadap kebajikan haiwan. Kita perlu menyayangi haiwan terbiar sebagaimana kita menyayangi keluarga kita sendiri,” tegasnya.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan seekor anjing yang tersekat di pagar surau dipukul sehingga mati oleh seorang individu.

Tragedi ini turut menarik perhatian Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS), Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang bertitah tentang kekecewaan baginda terhadap pendekatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani isu anjing terbiar dan menggesa pendekatan yang lebih holistik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here