Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penyumbang pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI untuk mangsa banjir di Kompleks Seri Perdana, Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan berjaya mengumpul RM35.8 juta menerusin Dana Ihsan Madani hasil sumbangan daripada pelbagai syarikat korporat dan orang kenamaan dalam tempoh 48 jam yang akan disalurkan kepada mangsa banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua dana itu akan diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk disalurkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Dalam dua hari, kita terkumpul (dana). Saya sangat menghargai dan saya putuskan supaya dana ini kita selaraskan di bawah ICU.

“Kemudian kita gunakan untuk baiki. Selain peruntukan kerajaan, sekolah, pelajar-pelajar, hospital yang rosak.

“Walaupun tidak rosak, bila kemudahan itu meningkat (penggunaan), dia akan beri kesan. Kalau 100 orang ditempatkan di sekolah (PPS), sudah tentu tandas dan lantai akan rosak.

“Selain peruntukan sedia ada, kita akan tampung ini dan saya minta ICU selaras ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Antara syarikat yang memberikan sumbangan dalam Dana Ihsan Madani ialah YTL Corporation Berhad berjumlah RM5 juta; Yayasan Al-Bukhari (RM5 juta); Sapura Secure Technologies (RM3 juta); Umobile Sdn Bhd (RM3 juta), Mah Sing Group Berhad (RM2 juta); WCT Berhad (RM2 juta); IJM Corporation Berhad (RM2 juta); Kuala Lumpur Kepong Berhad (RM2 juta); Berjaya Corporation Berhad (RM2 juta) dan Press Metal Berhad (RM2 juta).

Turut menyumbang ialah Westport Malaysia Sdn Bhd (RM1 juta), Roadcare Malaysia Sdn Bhd (RM1 juta), Sunway Berhad (RM1 juta), Malaysia Resources Corporation Berhad-MRCB (RM1 juta), The Weststar Group (RM1 juta), Fortress Mining Sdn Bhd (RM500,000), Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd (RM500,000), Johawaki Holdings Sdn Bhd (RM500,000) dan Datuk Lawrence Lim Swee Lin (RM500,000).

Selain itu, syarikat lain yang turut menyumbang ialah Newsfields Land Sdn Bhd (RM250,000), AHAM Asset Management Berhad (RM250,000), Perusahaan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia-PEKEMA (RM200,000) dan YHA Travel & Tours (RM100,000).

Perdana Menteri berkata, pelarasan itu perlu dilakukan ICU JPM bagi mengelakkan dana awam yang dikutip pelbagai pihak daripada orang awam disalahgunakan dan tidak sampai kepada mangsa banjir.

“Satu perkara lain yang kita jadi masalah adalah kadang-kadang sumbangan derma ini berjuta, semua orang kutip. Itu pun masalah juga seperti mana kes Gaza.

“Semua orang kutip, kadang-kala tak tahu ke mana. Kadang-kala dia yang tentukan keutamaan mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here