Dua lelaki warga China didakwa atas pertuduhan mencuri di Mahkamah Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Dua usahawan warga China mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan mencuri wang milik dua penumpang pesawat berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), bulan lalu.

Tertuduh He Dapeng, 51, dan Xin Min, 61, masing-masing membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, He Dapeng didakwa telah mencuri wang tunai RM2,000 milik seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun antara jam 8.20 hingga 8.40 pagi di LTAPP pada 21 November lalu.

He Dapeng didenda RM2,000.

Sementara itu, Xin Min didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM200 dan 24,000 mata wang Taiwan milik lelaki tempatan berusia 31 tahun di LTAPP antara jam 10.20 hingga 10.30 pagi pada 24 November lalu.

Bagi kesalahan tersebut kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Xin Min didenda RM3,700.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh diwakili peguam, Md Yusuf Md Idris.

Ketika prosiding, Lushani meminta hukuman berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama meskipun tiada kerugian dilaporkan dalam kejadian tersebut kerana wang itu telah dipulangkan kepada mangsa.

Bagaimanapun, Md Yusuf meminta hukuman dalam bentuk denda minimum atas faktor kedua-dua tertuduh sudah berumah tangga dan masing-masing mempunyai dua cahaya mata yang masih belajar selain berjanji akan pulang ke negara asal sebaik selesai pendakwaan.

“Ini merupakan kesalahan pertama serta tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Selain itu, pengaku kedua-dua mereka telah menjimatkan masa dan kos mahkamah,” katanya.

Huey Ting kemudian memutuskan He Dapeng didenda RM2,000 manakala Xin Min RM3,700 dan masing-masing dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here