KUALA LUMPUR – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) terus komited menyokong komuniti yang memerlukan dengan menyumbangkan bantuan daripada segi makanan kepada mangsa banjir yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Gardenia KL telah mengagihkan lebih 500,000 unit produk seperti roti putih, roti krim berperisa dan juga sapuan kaya kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas seperti kawasan-kawasan di Pantai Timur, Utara serta Lembah Klang.

Sumbangan ini disalurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pengagihan bantuan dilakukan dengan pantas dan berkesan kepada mereka yang memerlukan.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, usaha yang dilakukan ini menunjukkan keprihatinan syarikat ini yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia.

“Kami amat bersimpati terhadap kesukaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.

“Sumbangan setakat ini adalah inisiatif di bawah payung #GardeniaCares, yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat Malaysia dan juga sebagai satu tanda penghargaan dari kami kepada masyarakat yang sentiasa menyokong Gardenia KL,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sumbangan tersebut juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Gardenis KL untuk memastikan mangsa-mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sentiasa mempunyai makanan yang sedia untuk dimakan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, kementerian sentiasa menggalakkan dan menghargai sokongan daripada sektor swasta semasa bencana alam seperti ini.

“Bantuan dan sumbangan seperti yang diberikan oleh Gardenia KL ini amat kami hargai kerana ia dapat meringankan beban mangsa.

“Inisiatif oleh Gardenia KL ini benar-benar menunjukkan kerjasama sektor awam-swasta yang baik demi manfaat rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Gardenia KL telah menjalankan peranannya dalam membantu masyarakat, terutama dalam situasi mencabar seperti bencana banjir.

“Kami merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here