Gambar hiasan,

KUALA LUMPUR – Malaysia telah berjaya mendapat pengiktirafan untuk satu lagi elemen warisan kebudayaan tidak ketara iaitu kebaya yang diumumkan pada hari ini sempena sesi-19 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH) yang diadakan di Asuncion, Paraguay bermula 2 hingga 7 Disember ini.

Keputusan pencalonan Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity yang merupakan pencalonan secara bersama Malaysia dengan Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand telah diumumkan pada 4 Disember 2024 jam 9.50 malam waktu Malaysia, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Kejayaan penyenaraian ini menjadikan tiga pencalonan secara bersama atau multinational nomination telah berjaya diperoleh Malaysia, terdahulu adalah pantun bersama Indonesia (2020) dan Upacara Wangkang bersama China (2020).

Penyenaraian yang cukup berprestij ini telah diputuskan oleh Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage, UNESCO yang dianggotai oleh 24 negara anggota 2003 Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage.

Pengiktirafan ini lebih bermakna apabila Badan Penilai UNESCO telah mengiktiraf dossier pencalonan kebaya sebagai contoh dossier pencalonan yang jitu dan berprestij bagi fail pencalonan bersama.

Beberapa siri bengkel telah diadakan bagi melengkapkan dossier pencalonan kebaya.

Selaku negara yang menerajui inisiatif ini, Malaysia telah menganjurkan bengkel siri pertama pada 1 – 3 November 2022 di Port Dickson, Negeri Sembilan yang disertai oleh wakil dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Bengkel siri kedua pula dianjurkan oleh Kerajaan Indonesia pada 6 – 8 Februari 2023 di Jakarta, Indonesia, selain bengkel secara bersemuka,

MOTAC berkata, pengiktirafan ini meningkatkan visibiliti Malaysia di peringkat dunia sebagai negara dengan khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang berpotensi menjadi produk pelancongan serta menyumbang kepada ekonomi.

Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif, termasuk kerjasama erat dengan anggota negara ASEAN seperti Brunei, Indonesia, Singapura, dan Thailand, yang bersama-sama mempromosikan kebaya sebagai simbol warisan serantau.

Kejayaan pengiktirafan kebaya sebagai warisan tidak ketara UNESCO ini adalah hasil kerjasama strategik di antara keluarga besar MOTAC termasuklah Jabatan Warisan Negara, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO dan Kementerian Luar Negeri.

Ini juga mempamerkan kepimpinan Malaysia di persada dunia sebagai usaha untuk menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi 2025-2029, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here