DENGKIL – Tiada keperluan bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengadakan sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan, sehingga kini peperiksaan tersebut berjalan dengan lancar melalui Ops Payung.
“Kenapa kena ada sesi kedua kalau kita boleh buat satu sesi sahaja? Semalam saya sudah tegaskan dalam Dewan Rakyat bahawa persiapan kita menghadapi banjir ini adalah di bawah Ops Payung. Operasi ini kita aktifkan setiap tahun.
“Operasi ini menggunakan kekuatan jentera agensi kerajaan sepenuhnya untuk melaksanakan semua garis panduan prosedur operasi standard (SOP) banjir,” katanya ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Gamuda Cove dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gamuda Cove.
Malah, jelas Fadhlina, Ops Payung sedang menumpukan persediaan gelombang kedua banjir di seluruh negara.
“Kami masih lagi dalam musim peperiksaan ujian amali sains dan ujian bertutur bahasa Inggeris. Jadi persiapan kita alhamdulillah setakat ini, dan kehadiran anak-anak kita sangat memberangsangkan,” ujarnya.
Beliau mengulas cadangan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin supaya KPM mengadakan sesi kedua peperiksaan SPM supaya calon yang terjejas banjir boleh mendudukinya selepas keadaan reda.
Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pendekatan tersebut tidak mustahil dilaksanakan kerana ia pernah dibuat ketika negara dilanda Covid-19 dan banjir pada tahun 2022.
Semalam, Fadhlina berkata, khadiran calon SPM pada hari pertama untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu (BM) di seluruh negara adalah sebanyak 99 peratus.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia tidak perlu ditunda kerana KPM mempunyai mekanisme dalam menangani isu pelajar terkesan dengan banjir pada monsoon timur laut.
Menurutnya, melalui SOP Ops Payung, KPM yakin isu melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan ketika banjir dapat diuruskan dengan baik.
“Kita ada pekeliling berkaitan SOP Ops Payung dalam melaksanakan mekanisme berkaitan kesiapsiagaan menangani monson timur laut yang dihadapi hamper setiap tahun di negara ini khususnya di negeri Pantai Timur,” katanya. – MalaysiaGazette