Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa penyitaan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah ‘subject matter’ kepada siasatan serta pendakwaan dan tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan membuktikan suruhanjaya itu berada dalam kekeliruan

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, badan siasatan itu nyata tidak dapat membezakan antara akaun Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akaun parti.

“Dalam hal ini, terdapat kemungkinan bahawa SPRM telah menyalahgunakan proses undang-undang atau mungkin juga kuasa dan itu menjadi asas kenapa tindakan undang-undang wajar diambil ke atas SPRM.

“Berdasarkan Perkara 52A Akta 613, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, disebut, “sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah akta ini hendaklah terhenti berkuatkuasa selepas tamat tempoh dua belas bulan dari tarikh perintah penyitaan itu, atau jika terdapat suatu perintah pembekuan sebelum itu, dua belas bulan dari tarikh perintah pembekuan itu, jika orang yang terhadapnya perintah itu dibuat tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah Akta ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tun Faisal membuat kenyataan itu mengulas kenyataan terbaharu Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa penyitaan akaun bank Bersatu adalah mengikut peruntukan undang-undang dan tidak dibuat sewenang-wenangnya.

Menurut Wan Shaharuddin, sitaan akaun bank tersebut adalah tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.

Sementara itu, Tun Faisal berkata, tarikh SPRM mengeluarkan perintah pembekuan adalah pada 12 Januari 2023 dan 13 Januari 2023, bermaksud ia telah melewati tempoh 12 bulan.

Malah beliau berkata, akta itu sepatutnya telah terhenti berkuatkuasa pada 12 dan 13 Januari tahun 2024.

“Di sepanjang tempoh 12 Januari 2023 hingga 13 Januari 2024, parti Bersatu tidak pernah didakwa dan dikenakan sebarang kesalahan di bawah Akta 613 malah tiada permohonanan untuk perlucutan hak dibuat oleh SPRM di bawah Seksyen 56, Akta 613 terhadap akaun Bersatu,” katanya.

Dr Afif Bahardin

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata ,tindakan pembekuan dan penyitaan akaun bank Bersatu secara berterusan adalah satu tindakan yang jelas menafikan hak Bersatu di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga merupakan suatu tindakan yang tidak adil, penyalahgunaan proses, serta bertentangan dengan peruntukan sedia ada dalam AMLATFPUAA 2001.

“Bersatu mengambil maklum bahawa baru-baru ini, Mahkamah Rayuan telah memberikan ganti rugi am tambahan kepada seorang individu selepas akaun bank beliau dibekukan secara tidak sah oleh pihak berkuasa awam untuk tempoh yang melebihi had yang diperuntukkan oleh undang-undang,” kata Dr Afif.

Ahad lalu, Muhyiddin menyifatkan pembekuan akaun parti itu tanpa sebab jelas adalah satu tindakan menyalahi undang-undang dan salah guna kuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here