Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 15 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mengkaji semula pindaan Akta Lembaga Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 110], Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109] dan perundangan subsidiari.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kajian dan pindaan terhadap dasar-dasar berkenaan penting dalam memastikan tatakelola institusi termasuk peranan persatuan dan pertubuhan di bawah KPKM kekal relevan ke arah merealisasikan agenda keterjaminan makanan negara.

Katanya, antara penambahbaikan yang dicadangkan iaitu memperkasa fungsi penguatkuasaan dan penyeliaan oleh pendaftar.

“Melindungi hak dan kepentingan anggota Pertubuhan Peladang dengan lebih komprehensif dan memperkasa Pertubuhan Peladang dengan perluasan penglibatan meliputi pelbagai peringkat bagi mewakili komposisi ahli pertubuhan,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah ada perancangan untuk mengkaji semua dasar-dasar yang melibatkan agensi di bawah kementerian itu seperti Akta Persatuan Nelayan 1971 dan juga Akta Pertubuhan Peladang 1973.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pindaan kedua iaitu Akta Persatuan Nelayan 1971 [Akta 44] dan perundangan subsidiari di bawah Peraturan-Peraturan Persatuan Nelayan, 1972.

Jelas beliau, antara penambahbaikan yang dicadangkan adalah memperkasa fungsi penguatkuasaan dan penyeliaan oleh Pendaftar, memperluas dan menambah keahlian persatuan nelayan dalam kalangan nelayan darat serta menguatkuasakan penubuhan unit nelayan di setiap persatuan nelayan.

Perkara lain yang turut dicadangkan iaitu, melindungi hak dan kepentingan ahli Persatuan Nelayan dengan lebih komprehensif dan menambah baik proses pemilihan Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan agar lebih efektif.

“KPKM yakin usaha yang dilaksanakan ini amat penting dalam memastikan dasar dan perundangan yang berkuat kuasa dapat memenuhi agenda keterjaminan makanan negara dalam mendepani cabaran masa hadapan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here