DENGKIL – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia mempertimbangkan cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) supaya syarat tempoh pertukaran guru dilonggarkan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata isu kebajikan guru sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.
“Pertimbangan itu sentiasa ada. Sebab itu dalam jawapan-jawapan kita di Parlimen, penegasan-penegasan kita, isu kebajikan guru itu menjadi keutamaan kita.
“Jadi pertimbangan yang disebut oleh NUTP itu adalah selari dengan apa yang sedang kita laksanakan sekarang dalam polisi dan dasar kita khusus berkaitan dengan isu tersebut,” katanya ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Gamuda Cove dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gamuda Cove.
Pada masa ini, KPM menetapkan guru tidak boleh memohon pertukaran dalam tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon menyuarakan cadangan tersebut bagi mengelak kisah Cikgu Din atau Mohamad Izzudin Izhar, 34 yang kematian isteri baru-baru ini berulang lagi.
Cikgu Din sebelum ini ditugaskan di Sarawak ketika isterinya bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.
Sementara itu Fadhlina berkata pembinaan fasa pertama Sekolah Kebangsaan Gamuda Cove dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gamuda Cove dijangka siap pada 2026.
Terletak di bandar pintar Gamuda Cove yang merangkumi kawasan seluas 1,530 ekar, kedua-dua sekolah terbanit mampu menampung sehingga 2,400 pelajar melalui 48 kelas.-MalaysiaGazette