Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Dr. RA Lingeshwaran mencabar menteri dan timbalan menteri kesihatan serta pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan untuk cuba bekerja satu syif jururawat selama 42 jam di mana-mana hospital yang sibuk.

Cabaran itu dibuat susulan gesaannya supaya waktu kerja minimum jururawat syif dikurangkan kepada 38 jam seminggu berbanding 42 jam sekarang.

Memetik tiga kajian global kesan sistem syif terhadap pekerja, khususnya jururawat, beliau menegaskan, pertimbangan waktu dan persekitaran kerja bagi golongan profesional perubatan adalah berbeza dengan kakitangan pejabat yang bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, satu tinjauan di Britain melaporkan jururawat bekerja lebih 40 jam seminggu mempunyai hampir dua kali ganda risiko membuat kesilapan dalam penjagaan pesakit.

Dari segi keselamatan pekerja kesihatan, satu lagi kajian mendapati kecederaan akibat jarum suntik dan kesilapan dalam pemberian ubat meningkat sebanyak 28 peratus dalam kalangan jururawat yang bekerja lebih 40 jam seminggu.

Kajian lain melaporkan akibat bekerja waktu panjang boleh menyebabkan rasa mengantuk selepas kerja dan dua pertiga jururawat memandu dalam keadaan mengantuk selain lima peratus daripadanya sukar kekal berjaga ketika pulang.

Manakala lebih 30 peratus  jururawat syif malam melaporkan kesukaran bekerja,” ujarnya.

“Jika kajian-kajian yang saya petik ini tidak cukup untuk meyakinkan menteri  dan timbalan menteri kesihatan serta pegawai kanan kesihatan, saya jemput mereka menyertai saya bekerja satu syif malam di mana-mana hospital yang sibuk di Pulau Pinang untuk melihat sendiri keadaannya.

“Untuk mereka merasai tekanan luar biasa dihadapi jururawat yang bekerja syif.

“Saya merayu kepada anda yang terlibat dalam menghasilkan pekeliling tersebut untuk lebih prihatin tentang apa yang saya cuba sampaikan. Anda boleh hadir ke mana-mana hospital dan cuba bekerja satu syif di wad-wad perubatan ini.

“Jika selepas syif malam tersebut, kalau masih bertenaga dan berselera, saya akan belanja semua makan nasi kandar,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas membahaskan isu itu di Dewan Negara hari ini.

Lingeshwaran yang merupakan bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang itu mengulas pekeliling baharu daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menghendaki semua pekerja syif dalam perkhidmatan kerajaan bekerja 45 jam seminggu, sama seperti kakitangan yang bekerja waktu pejabat.

Selain itu, katanya, terdapat laporan peningkatan kes kanser dalam kalangan pekerja syif seperti yang dilaporkan oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC).

Data dan sains jelas menunjukkan kesan buruk kerja dalam syif 24 jam, ujarnya.

“Berdasarkan perkara ini, saya ingin memohon JPA supaya mengehadkan waktu kerja pekerja syif kepada 38 jam setengah seminggu.

“Ini adalah jumlah waktu kerja sebenar yang dilaksanakan oleh penjawat awam bekerja waktu pejabat, mengambil kira rehat makan tengah hari selama sejam setiap hari dan masa rehat untuk solat Jumaat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here