KUALA LUMPUR – Malaysia akan memperkenalkan sembilan laluan antarabangsa baharu dan satu laluan penerbangan sewa khas.
Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, laluan terbabit akan menghubungkan lima destinasi utama dalam negara iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Langkawi dan Pulau Pinang.
“Menjelang pertengahan Disember, Indigo Airlines akan membuat penampilan pertamanya di Malaysia dengan tiga laluan baharu menghubungkan Malaysia dan India.
“Ini termasuk penerbangan harian dari Bengaluru ke Kuala Lumpur dan Langkawi, serta penerbangan harian dari Chennai ke Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.
Laluan baharu lain termasuk penerbangan harian Batik Air antara Bangkok, Thailand dan Johor Bahru; penerbangan tiga kali seminggu Air Asia dari Saigon, Vietnam ke Kota Kinabalu.
Selain itu penerbangan lima kali seminggu Malaysia Airlines dari Kolkata, India ke Kuala Lumpur; penerbangan tiga kali seminggu Shanghai Airlines dari Yuncheng, China ke Kuala Lumpur dan penerbangan dua kali seminggu Jiangxi Air dari Nanchang, China ke Kuala Lumpur
Menurut King Sing, tarikh pelancaran semua penerbangan akan diumumkan kemudian.
Selain itu, pada 10 Disember, Jeju Air akan memperkenalkan laluan penerbangan sewa khas yang menawarkan penerbangan dua kali seminggu antara Muan, Korea Selatan dan Kota Kinabalu.
Tambah beliau, setelah kesemua 10 laluan mula beroperasi, terdapat penambahan 50 penerbangan antarabangsa setiap minggu ke Malaysia.
“Ini akan meningkatkan kapasiti penumpang mingguan sebanyak lebih 7,400 sekaligus menjadikan jumlah penerbangan antarabangsa lebih 3,100 setiap minggu. Kapasiti penumpang akan meningkat daripada 612,423 kepada hampir 620,000 setiap minggu.
“Berita ini pastinya menjadi peristiwa penting bagi sektor pelancongan negara ini dan saya yakin ia mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya .
Tambah beliau, inisiatif terbabit akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri pelancongan.
Bagi tahun ini sehingga Oktober lalu, ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia melepasi 20.5 juta.
Beliau optimis dorongan akhir tahun akan membawa Malaysia lebih dekat ke tahap bilangan penumbang sebelum pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette