KUALA LUMPUR – Tiga kereta yang diparkir di kawasan awam di Taman Impian Emas, Johor Bahru, dirempuh sebuah lori yang dipercayai dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam membabitkan pemandu lori warga tempatan berusia 29 tahun.
“Kejadian berlaku ketika lelaki itu menggerakkan lorinya ke hadapan dan kemudian mengundurkannya sebelum melanggar tiga kereta yang berada di hadapan serta belakang lori.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan disyaki di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya, lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara untuk saringan alkohol dan ujian pernafasan dan mendapati kedua-duanya positif dengan kadar alkohol melebihi had dibenarkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk dan Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” jelasnya.- MalaysiaGazette