KUALA LUMPUR – Kementerian Luar komited memberi perhatian kepada isu Laut China Selatan dengan pendirian Malaysia adalah jelas dan konsisten.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan diambil kerajaan berhubung isu membabitkan pertindihan zon maritim di kawasan itu.
Beliau berkata, semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan perlu berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
“Di dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama di dalam setiap tindakan yang diambil.
“Sepertimana sedia maklum, isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif. Oleh yang demikian, isu ini perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai status terkini pertikaian wilayah maritim negara terutamanya di zon maritim bertindih yang melibatkan negara seperti Brunei, China, Vietnam, Indonesia dan Filipina selain apa inisiatif kerajaan dalam memperteguh diplomasi dengan negara terbabit sebagai usaha mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman maritim.
Mohamad menambah sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh tiga tahun dari Ogos tahun ini hingga Julai 2027, Malaysia kekal komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.
“Kementerian Luar akan terus menyuarakan pendirian tegas Malaysia berhubung isu Laut China Selatan di platform berkaitan bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” katanya.
Mengenai soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berhubung isu kehadiran kapal asing di periaran Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Mohamad berkata, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara. – MalaysiaGazette