Pengalaman sebagai anggota APM beri kelebihan ketika rumah dilanda banjir

TEMERLOH – Pengalaman lapan tahun sebagai seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang memberi kelebihan buat Mohd Ariff Ishak, 28 yang berdepan situasi rumahnya dinaiki air baru-baru ini.

Dia yang baru setahun menetap di pinggir Sungai Semantan di Kampung Lompat, di sini, memberitahu, air sungai mula melimpah ke kawasan rumah yang didiaminya bersama isteri dan dua anak sejak Sabtu lalu.

Katanya, air mula memasuki dapur rumah bermula petang Ahad dan memenuhi aras tinggi rumah di ruang tamu menjelang jam 8 malam.

Mohd Ariff Ishak

“Masa kejadian air laju, cepat naik. Daripada tebing sungai, lebih kurang beberapa jam sahaja.

“Saya baru lagi duduk di sini. Ni kali pertama pengalaman air naik dalam rumah di sini. Tapi kita tak panik. Semua barang dah dipindahkan ke atas rumah rakit sebaik pengumuman METMalaysia masuk musim MTL,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ariff berkata, dia telah melakukan persediaan menghadapi musim tengkujuh sejurus pengumuman dibuat METMalaysia awal November lepas.

Katanya, segala peralatan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh serta kelengkapan harian sudah diletakkan di atas rumah rakit yang dibina sendiri dan terletak bersebelahan rumahnya.

Sementara itu, isterinya, Rosmaliza Roslan, 34 berkata, ini merupakan pengalaman pertama beliau dan keluarganya berdepan situasi tersebut.

Bercerita lanjut, katanya, petang itu dia berhasrat menunggu air yang melimpah ke ruang dapur surut dan tidak merancang untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), namun akur dengan cadangan Ariff yang sudah menjangka air akan terus naik ke dalam rumah.

Rosmaliza Roslan menunjukkan gambar air banjir yang memenuhi ruang dapur rumahnya Ahad lepas

“Setahun duduk sini, tak pernah hadap banjir. Terkejut dan tak tahu nak buat apa. Mujur suami dah biasa.

“Mula-mula memang ingat nak tidur sahaja di rumah ketika air memenuhi dapur dan menganggap mungkin lambat lagi air naik. Suami cakap, mujur pindah ke PPS. Sebab kalau tak, kami tidur dalam air la jawabnya,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette di sini petang ini, mendapati air Sungai Semantan yang melimpah ke tebing didapati mulai surut.

Difahamkan Arif, Rosmaliza dan dua anak perempuan mereka berusia tujuh dan dua tahun yang berlindung di PPS Surau Kampung Lompat akan dibenarkan pulang ke rumah mereka esok.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lompat, Abdullah Ishak, terdapat 34 buah rumah didiami kira-kira 130 penduduk di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lompat, Abdullah Ishak menunjukkan limpahan air Sungai Semantan yang memenuhi jalan utama memasuki kampung itu.

Katanya, hanya lapan buah rumah penduduk yang terletak di sekitar pinggir sungai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here