KUALA LUMPUR – Kerajaan memerlukan masa untuk mendapat anggaran tambahan hasil daripada pengenalan cukai dividen sebanyak dua peratus.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, anggaran itu kini dalam proses menganalisis sebelum dimuktamadkan untuk diumumkan berdasarkan keperluan.
“Proses penyediaan anggaran ini mengambil masa kerana terdapat keperluan kepada Kementerian Kewangan untuk mengumpulkan data-data pembayaran dividen daripada pelbagai sumber,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Cukai pengenalan dua peratus telah diperkenalkan ke atas pemegang saham dengan dividen tahunan lebih RM100,000 dalam Belanjawan 2025.
Hui Ying berkata, cukai yang akan dikenakan pada kadar dua peratus ini adalah rendah berbanding negara lain yang juga mengenakan cukai ke atas pendapatan pelaburan seperti di United Kingdom iaitu sebanyak 39.35 peratus.
“Sejak pengumuman, tiada reaksi ketara dari segi pergerakan atau prestasi Bursa Malaysia yang mencadangkan sebarang kehilangan minat pelabur.
“Pelaksanaan cukai dividen juga dijangka tidak mengakibatkan pemindahan dana pelaburan yg signifikan ke luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Kewangan 2024 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dikemukakan timbalan menteri.
RUU berkenaan antara lain melibatkan pengenaan cukai dividen, penambahbaikan ke atas cukai keuntungan modal dan cukai minimum global, semakan semula dan lanjutan tempoh pelepasan cukai bagi individu.
Selain itu, RUU berkenaan bagi menambah baik penetapan mekanisme selaras pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Cukai Keuntungan Harta Tanah dan semakan semula kadar duti setem. – MalaysiaGazette