KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan sikap yang ditunjukkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika menjadi saksi dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib berkata, beliau amat mempercayai Ahmad Husni sebelum melantiknya sebagai Menteri dan jawatan lain seperti Bendahari Agung UMNO ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Kata bekas Perdana Menteri itu, dakwaan beliau telah meminta Ahmad Husni untuk tidak campur tangan dalam rancangan pelaburan 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) adalah tidak benar.
“Saya secara peribadi telah melantik beliau menjadi Menteri Kewangan II pada April 2009, tuduhan kononnya saya beri arahan itu sebenarnya amat menyakitkan bagi bagi seseorang yang diamanahkan dengan peranan penting untuk membuat tuduhan sedemikian terhadapnya.
“Sepanjang tempoh sebagai Presiden UMNO, saya juga melantik beliau sebagai Bendahari, ia jawatan yang mencerminkan keyakinan saya terhadap keupayaan dan integriti beliau. Ini bukan keputusan tetapi saya amat percaya beliau akan setia berkhidmat kepada negara dan parti dengan kesetiaan dan penghormatan,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Bekas Perdana Menteri itu berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Menurut Najib, sehingga kini beliau sukar menerima menerima tindakan Ahmad Husni terhadapnya.
Ketika disoal peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib menyatakan beliau sedar Ahmad Husni seperti tidak berpuas hati selepas beliau menukarkannya ke kementerian lain.
“Ahmad Husni kecewa, beliau juga ada meminta projek untuk anak lelakinya yang saya tidak endahkan tapi saya tidak ingat dan perlu semak apakah projek itu.
“Ketika itu, beliau juga datang berjumpa dengan saya bersama surat perletakan jawatannya sekali. Sebenarnya, apabila kita memegang kuasa tidak semua perkara yang diminta itu kita dapat tunaikan,” ujarnya.
Sementara itu, Najib meminta bekas pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail supaya berkata benar apabila menjadi saksi pendakwaan dalam prosiding penyelewengan.
“Sangatlah menyakitkan, mengecewakan mendengar dakwaan, kenyataan dan fakta tidak benar dikaitkan dengan saya oleh orang-orang yang percaya dan pandang tinggi.
“Tapi bukan tugas saya untuk buat apa-apa spekulasi mengapa beliau (Ismee) memilih untuk berbuat demikian tentang diri saya di mahkamah.
“Sebenarnya demi keadilan buat Ismee, beliau bukanlah satu-satunya saksi pendakwaan yang pilih untuk berikan fakta tidak benar dengan mengaitkan saya secara tidak adil,” katanya. -MalaysiaGazette