KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) dicadang supaya menyelaraskan moratorium semua institusi perbankan yang menawarkan moratorium kepada peminjam-peminjam yang terjejas akibat bencana banjir.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, moratorium wajar diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang kini dalam kesulitan sama seperti dilakukan ketika pandemik Covid-19.
Katanya, pemberian moratorium seperti itu tidak akan melemahkan industri perbankan negara sebaliknya, bank-bank terlibat turut mendapat keuntungan.
“Saya harap agar kerajaan apalah kiranya menekan atau berbincang dengan bank-bank yang ada dan institusi kewangan supaya memberikan moratorium paling tidak, enam bulan kepada peminjam-peminjam yang terjejas akibat banjir yang sedang melanda pada hari ini.
“Semasa pandemik Covid-19, moratorium secara menyeluruh selama enam bulan telah diperkenalkan pada April 2020. Langkah ini membantu lebih lapan juta peminjam termasuk perusahanan kecil dan sederhana,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2024, di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Ahmad Fadhli lagi, moratorium juga pernah diberikan oleh bank-bank seperti Maybank, Cimb Bank, Public Bank dan RHB Bank kepada mangsa-mangsa banjir di Lembah Klang pada 2021.
Beliau turut berterima kasih kepada bank-bank yang telah bertindak secara proaktif beberapa hari ini apabila mengumumkan moratorium lebih awal.
“Banjir di Pasir Mas pada hari ini lebih daripada kadar 2014, dua kali ganda. Banjir yang datang dari Thailand dari Yala dari Narathiwat dari Patani terjun ke kawasan saya, Rantau Panjang dan juga Tumpat. Menenggelamkan 40 peratus daripada kawasan Parlimen kami.
“Kalau Rantau Panjang 70 peratus tenggelam banjir, ada yang total lost…apalah kalau sekiranya berita baik ini dapat dikongsi kepada kami yang berada di negeri Kelantan khususnya di utara Kelantan yang berdepan dengan selatan Thailand ini,” ujarnya.
Banjir besar yang berlaku di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu ketika ini berpunca daripada hujan lebat luar biasa yang berterusan.
Ia berlaku akibat taburan hujan lebih dua kali ganda berbanding purata biasa, ditambah dengan keadaan air pasang besar.
Setakat ini, kerajaan telah menggerakkan lebih 82,000 petugas penguatkuasaan di seluruh negara membabitkan keseluruhan pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu memuatkan seramai 2.1 juta mangsa. – MalaysiaGazette