Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan memainkan peranan penting dalam membantu pihak berkuasa Singapura menahan seorang taikun berprofil tinggi yang telah melarikan diri selama 19 tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, operasi ini bermula apabila Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura mengemukakan permohonan bantuan kepada SPRM bagi mengesahkan dan mengesan suspek-suspek yang terlibat.

Pada bulan April, Pengarah CPIB telah melawat ibu pejabat SPRM untuk membincangkan kes ini secara terperinci.

Susulan mesyuarat tersebut, CPIB menghantar permohonan rasmi untuk pelaksanaan waran tangkap di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 [Akta 621] dan Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 [Akta 25].

Sebelum pelaksanaan waran, pasukan risikan SPRM telah mengumpulkan maklumat penting termasuk foto pemantauan dan butiran peribadi suspek.

Analisis lanjut oleh CPIB menggunakan teknologi pengecaman wajah menunjukkan kemungkinan 70 peratus salah seorang individu adalah suspek yang dicari.

Dengan kerjasama SPRM, lokasi serta butiran peribadi suspek termasuk nombor pasport dan telefon berjaya dikesan.

Seterusnya, pejabat SPRM Johor telah melaksanakan tangkapan tersebut, menandakan kemuncak kepada operasi menyeluruh yang melibatkan pengumpulan risikan, pemantauan, dan kerjasama erat antara agensi.

“Operasi ini menunjukkan komitmen SPRM, melalui Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA), terhadap kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah dan jenayah rentas sempadan, sekali gus menunjukkan kepentingan perkongsian maklumat risikan, pemantauan, serta kolaborasi agensi dalam menegakkan keadilan,” kata Azam.

Straits Times melaporkan, ketua pegawai eksekutif dan presiden firma kitar semula Citiraya Industries dan isterinya ditahan di Malaysia semalam, 3 Disemer selepas 19 tahun menjadi buruan.

Syarikat ini menjalankan perniagaan kitar semula dan mendapatkan semula logam berharga daripada sekerap elektronik, seperti cip komputer terpakai.

Pelanggannya termasuk gergasi semikonduktor seperti AMD, Intel dan Infineon.

Bagaimanapun, syarikat yang disenaraikan ketika itu bukan melakukan kerja-kerja kitar semula sebaliknya taikun itu didakwa menghantar barang-barang itu ke luar negara untuk dijual.

Pada tahun 2008, siasatan mendedahkan taikun ini telah memperoleh lebih daripada AS$51 juta, yang bernilai sekitar S$72 juta pada masa itu, daripada skimnya.

Isterinya, didakwa bersekongkol dengannya, dan dua warga Singapura melarikan diri dari negara itu pada 2005 apabila CPIB menyiasat kes itu.

Agensi itu menyiasat kes rasuah dan menunaikan faedah daripada kelakuan jenayah, seperti pengubahan wang haram.

Selama 19 tahun, pasangan itu mengelak ditangkap.

Straits Times difahamkan pasangan itu telah mengelak pihak berkuasa kerana menggunakan identiti berbeza semasa dalam pelarian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here