KUANTAN – Suami kepada peragawati dan pelakon, Zahnita Wilson, akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini esok selepas direman sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan kes keganasan rumah tangga.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu yang mengesahkan perkara ini berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan atas pertuduhan mendatangkan kecederaan.
“Suspek juga akan berdepan pertuduhan tambahan berkaitan kes urin positif narkotik,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman mengeluarkan perintah reman terhadap suami kepada Zahnita selama tiga hari selepas ditaham pihak polis pada Isnin.
Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, sebelum ini mendedahkan di medis sosial bahagian mata kirinya lebam didakwa akibat dipukul suaminya.
Pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu turut mengakui sudah lama menjadi mangsa keganasan rumah tangga. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan: Suami Zahnita Wilson direman 3 hari
Zahnita ucap terima kasih atas sokongan
Suami Zahnita Wilson diberkas polis
Mahu tinggal berasingan punca pelakon dipukul suami