PUTRAJAYA – Tiada permohonan baharu daripada bekas ahli-ahli UMNO untuk kembali menyertai parti itu selepas bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya ada, maka senarai individu yang ingin kembali ke pangkuan UMNO akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan parti.
“Setakat ini tidak ada permohonan baharu jadi kita akan bawa ke persetujuan Jawatankuasa Pengurusan dan akan diketengahkan di MKT jika ada.
“Saya tidak tahu. Kalau ada mesyuarat MKT, maknanya bulan Januari ini akan berlaku,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi dan Kualiti KKDW di Dewan Seri Lestari, di sini, hari ini.
Ahad lalu, Ahmad Zahid berkata, keputusan menarik balik penggantungan keahlian Tajuddin dalam UMNO berikutan komitmen yang ditunjukkan beliau untuk kembali semula kepada parti itu.
Malah Ahmad Zahid berkata kesunggguhan Tajuddin untuk kembali bersama parti itu dibuktikan dengan tindakannya menghantar surat rayuan berhubung penggantungannya sebanyak empat kali.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 25 November lepas, menarik balik penggantungan keahlian Tajuddin sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan yang diedarkan kepada media selepas mesyuarat MKT di Kuala Lumpur, memaklumkan keputusan sebulat suara itu dibuat selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan parti.
Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang ditanya mengenai kenyataan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang mempersoalkan kenyataan beliau terdapat usaha untuk menarik Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan membentuk kerajaan baharu enggan mengulas lanjut dan menjelaskan kenyataan Shahril sudah tidak relevan.
“Dia sudah tidak relevan,” jawab beliau ringkas.
Dalam podcast Keluar Sekejap pada Isnin lalu, Shahril berkata dakwaan Ahmad Zahid mengenai cubaan untuk memujuk BN keluar dari kerajaan perpaduan dan tindak balasnya selepas itu dibuat untuk mencantikkan imejnya.
Beliau berkata, naratif itu bertujuan menjadikannya kelihatan seperti seorang hero. – MalaysiaGazette