KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak merancang untuk membina stadium atau fasiliti sukan yang baharu bagi penganjuran kejohanan Sukan SEA 2027.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, kerajaan hanya akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada sukan untuk kegunaan termasuk di Sarawak selepas kordinasi dan perbincangan lanjut diadakan.
“Kementerian akan mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri setelah penubuhan jawatankuasa pengelola dan sekretariat Sukan SEA 2027.
“Sehingga kini, kita tidak ada hasrat untuk bina fasiliti sukan yang baharu untuk tujuan sukan SEA 2027.
“Bagaimanapun, kerajaan akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada sukan untuk kegunaan pada 2027 akan datang termasuk di Sarawak selepas diadakan kordinasi dan perbincangan lanjut,” katanya.
Adam Adli menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang meminta beliau menyatakan rancangan untuk menambah baik stadium dan fasiliti sukan serta membangunkan perkampungan atlet di seluruh Sarawak bagi memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 di negeri itu berjalan lancar.
Adam menambah, pemilihan atlet dijalankan Majlis Sukan Negara dengan kerjasama persatuan sukan melibatkan antara 38 hingga 44 jenis sukan dipertandingkan.
Pemilihan atlet juga, ujar beliau akan dijalankan dari masa ke semasa menerusi banyak saluran.
“Antaranya seperti Sukan Malaysia dan juga sukan-sukan terbuka. Kita beri peluang sebenarnya Sukan SEA ini sebagai platform atlet-atlet baharu berbanding atlet-atlet senior.
“Ini adalah salah satu temasya sukan yang tersedia untuk mereka mewakili negara pada peringkat awal karier mereka sebelum berinjak ke sukan lebih besar seperti Sukan Asia, Komanwel atau Olimpik,” katanya. – MalaysiaGazette