Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA – Semua kakitangan dan kepimpinan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) digesa untuk menggerakan usaha dan bersama-sama mengambil inisiatif yang sesuai membantu mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau ingin melihat usaha-usaha seperti memperhalusi dan menilai rumah-rumah di kawasan pedesaan yang rosak akibat banjir digerakkan segera oleh warga kementerian itu.

“Kita sediakan rumah baharu atau membaik pulih kediaman yang terjejas.

“Kedua, kita lancarkan Tabung Derma Kilat Bantuan Banjir dan menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan keperluan harian.

“Ketiga, marilah kita tubuhkan Skuad Ihsan MADANI secara menyeluruh di peringkat Kementerian, agensi dan anak-anak syarikat,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi dan Kualiti KKDW, di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, tumpuan juga harus diberikan kepada pasca banjir bagi membantu keluarga mangsa yang terjejas.

“Usaha ini bukan sahaja mencerminkan komitmen KKDW dalam membantu rakyat menghadapi musibah, tetapi juga membuktikan semangat kesatuan dan keprihatinan kita dalam menjaga kebajikan masyarakat desa yang terjejas,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah bersiap siaga untuk menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku pada 8 hingga 14 Disember ini.

Jelasnya, persediaan awal perlu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Pada tahun ini banjir sangat-sangat luar biasa melebihi daripada 2014. Pada 1 Disember ketika kemuncak, 153,000 mangsa melibatkan 45,000 keluarga.

“Kita bersyukur kerana gelombang pertama menurun, kini kurang 60,000 masih di pusat pemindahan sementara. Kita tunggu gelombang kedua. Pahang dan Johor akan terlibat selepas ini,” kata Ahmad Zahid yang Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

Seramai 65,822 mangsa banjir terdiri daripada 20,116 keluarga direkodkan pada pagi ini, menurun berbanding petang semalam yang mencatatkan 71,181 orang.

Menerusi Info Bencana JKM, daripada jumlah tersebut, seramai 43,667 mangsa banjir (13,978 keluarga) direkodkan di Kelantan diikuti oleh Terengganu dengan 14,319 mangsa (3,671 keluarga), Pahang seramai 53 mangsa (11 keluarga) serta Kedah seramai 6,134 mangsa (1,957 keluarga). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here