KUANTAN – Suami kepada peragawati dan pelakon, Zahnita Wilson, dituduh secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini kerana menggunakan dadah dan mencederakan isterinya.
Pertuduhan dibacakan di kamar berasingan di hadapan majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat dan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Tertuduh Abd Zackery Ghouse Abd. Gafoor, 46, tidak membuat sebarang pengakuan terhadap pertuduhan pertama iaitu menggunakan dadah berbahaya jenis THC pada 2 Disember lalu.
Mengikut kertas pertuduhan Abd Zachery telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama
Bagi kesalahan itu dia boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun dan diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Bagi pertuduhan kedua beliau mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaan kepada isterinya pada 7 Mei lalu.
Menurut fakta kes, Abd Zackery Ghouse didapati dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas isterinya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, di Indera Mahkota 11, dekat ini.
Dia didapati melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama
Bagi hukuman Seksyen 323 Kanun Keseksaan tertuduh boleh dikenakan penjara selama tempoh sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya.
Hukuman Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula hendaklah dihukum dengan penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda hukuman penjara maksimum yang mana boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan
Pendakwaan dilakukan oleh Luqman Hakim Mohamad Usair menawarkan wang jaminan sebanyak RM3,000 bagi pertuduhan penggunaan dadah.
Selain itu, jaminan sebanyak RM5,000 ditawarkan bagi kes keganasan rumah tangga oleh pihak pendakwaan yang dilakukan Deeevagaran Naidu A.
Tertuduh diwakili peguambela Muhammmad Amirul Afiq Mohamad Lokman bagaimanapun memohon rayuan pengurangan wang jaminan atas faktor tertuduh masih menanggung empat orang anak, isteri dan ibu yang sakit.
Dalam rayuan itu Muhammmad Amirul Afiq menyatakan bahawa kes yang hadapi oleh anak guamnya telah mendapat liputan meluas yang mana ia sedikit sebanyak akan menggugat pendapatan perniagaannya.
Mahkamah memutuskan wang jaminan RM6,600 bagi kedua-dua kes.
Kes disebut semula pada 7 Februari depan bagi kes narkotik dan 7 Januari 2024 bagi kes keganasan rumah tangga.
Sebelum ini Zahnita mendedahkan bahagian mata kirinya lebam didakwa akibat dipukul suaminya menerusi platform media sosial Instagram.
ARTIKEL BERKAITAN :
Suami Zahnita Wilson diberkas polis
Zahnita ucap terima kasih atas sokongan