RANTAU PANJANG – Bagi penduduk Kampung Tersang, di sini, kejadian banjir bukan asing buat mereka kerana fenomena alam itu dialami saban tahun khususnya menjelang hujung tahun.
Malah, bagi kebanyakan mereka, fenomena banjir sememang ditunggu-tunggu kerana dianggap sebagai pesta di mana kanak-kanak bebas bermain air, manakala orang dewasa pula boleh menambah rezeki dengan menangkap ikan sungai.
Namun, situasi berbeza berlaku tahun ini apabila fenomena banjir yang sepatutnya menjadi pengalaman menyeronokkan bertukar menjadi bencana dahsyat, yang disifatkan paling buruk dalam sejarah.
Mengimbau kejadian itu, seorang suri rumah, Norihan Mohd. Nor, 38, berkata, dia yang sudah menjangkakan akan berlaku banjir ketika gelombang pertama hujung bulan lalu sudah membuat persediaan awal dengan berpindah ke bahagian loteng rumah dua tingkatnya.
Namun, katanya, hujan lebat berterusan menyebabkan air naik mendadak hingga hampir mencecah bahagian loteng memaksanya bergegas meninggalkan rumahnya kerana bimbang banjir menjadi lebih buruk.
Ujarnya, sepanjang 38 tahun tinggal di kampung itu, ini kali pertama dia dan keluarga terpaksa meninggalkan rumahnya disebabkan keadaan banjir yang sudah melepasi paras kepala.
“Saya dengan seorang anak serta saudara-mara mengharung air banjir yang deras kira-kira pukul 11 malam Rabu lalu untuk menyelamatkan diri.
“Saya cuba berpindah ke sebuah sekolah berdekatan kampung ini dan sebaik sahaja sampai, saya dapati sekolah itu sudah dipenuhi dengan penduduk kampung yang turut menyelamatkan diri.
“Disebabkan keadaan terlalu sesak, saya dan anak membuat keputusan tidur dalam kereta malam itu sebelum berpindah ke sebuah sekolah pondok keesokan hari,” katanya ketika ditemui MalaysiGazette, di sini, hari ini.
Kampung Tersang yang dihuni lebih 60 buah keluarga merupakan antara kampung yang paling teruk terjejas ketika bencana banjir gelombang pertama melanda Pantai Timur hujung bulan lalu dengan keseluruhan penduduknya terpaksa berpindah.
Sementara itu, Norihan berkata, meskipun sudah dapat pulang ke rumahnya hari ini, namun tiada apa yang boleh dilakukannya memandangkan rumahnya masih ditenggelami banjir termenung sedalam paras lutut.
Lebih menyulitkan keadaan, katanya, bekalan elektrik dan air bersih juga masih terputus sekali gus menyukarkan mereka sekeluarga meneruskan kehidupan seharian.
“Sekarang balik rumah pun sekadar tengok-tengok keadaan sekeliling sahaja, nak bersihkan rumah pun tidak boleh sebab tiada bekalan air bersih,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Tersang, Mohd Faizul Mohd. Nor, 46, berkata, banjir tahun ini juga diburukkan oleh projek tebatan banjir berdekatan kampung itu.
Projek dipercayai pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok itu didakwa berlanjutan sejak 2018, namun masih gagal disiapkan sehingga kini.
“Disebabkan projek itu juga kami di sini terpaksa berdepan dengan situasi banjir termenung yang menyusahkan penduduk, jadi saya harap pihak berwajib segera menyelesaikan projek itu dan memastikan kami tidak terus menjadi mangsa setiap kali hujan lebat,” katanya.- MalaysiaGazette