Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Muda Mohd. Zawawi Abdullah sidang media Penutupan Op Redback ke019 Tahun 2024 di Klang.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menghadapi cabaran yang lebih besar berikutan terdapat jalur baharu laluan penyeludupan dadah melalui kapal selam dikesan sehingga ke Australia.

Pemangku Timbalan Ketua APMM (Bahagian Operasi), Laksamana Muda Mohd Zawawi Abdullah berkata, jenayah maritim rentas sempadan berprofil tinggi perlu diberi fokus dan diperangi untuk mengelak Malaysia menjadi hab kepada aktiviti haram tersebut dan penyeludupan orang.

Menurut beliau, pada November lalu media melaporkan tentang penyeludup kokain yang menggunakan laluan baharu di laut dengan menggunakan kapal selam ke Australia yang berjaya ditumpaskan oleh kerajan Columbia.

“Ini adalah satu indikasi jelas yang menunjukkan kita bahawa penyeludup dadah berupaya menjejaki jalur baharu dan menggunakan laluan itu untuk sampai ke destinasi yang jauh di rantau ini menerusi laut,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Penutupan Op Redback ke-19 di Bukit Tinggi, dekat sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, Malaysia turut dikesan menjadi hab transit penyeludupan migran secara haram dari Afghanistan dan Pakistan ke negara lain termasuk ke Australia.

“Bila dikaitkan dengan isu transit, sudah tentu ada tekong darat yang menguruskan migran dan itulah trend, kalau dahulu bawa masuk dari Indonesia kemudian ke negara ini, simpan cukup beberapa orang untuk keperluan mereka sehingga penuh satu bot dan terus bertolak,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi berkata, rokok elektronik dijangka menjadi trend penyeludupan baharu dalam kalangan sindiket berikutan sekatan produk tersebut dijual secara terbuka di pasaran yang dikuatkuaskaan pada Oktober lalu.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata, Op Redback diadakan selama empat hari bermula 2 Disember lalu untuk melakukan penguatkuasan dan pemantauan di sepanjang 118 batu nautika dari perairan Sabak Bernam hingga Kuala Sepang.

Jelasnya, kerjasama dengan Pasukan Sempadan Australia (ABF) sejak 2013 itu membabitkan risikan, kepakaran, bengkel dan ceramah serta program rondaan aset di perairan bagi memerangi jenayah rentas sempadan lebih efektif.

Katanya, sesi libat urus turut diadakan bersama komuniti nelayan setempat yang merupakan mata dan telinga kepada APMM bagi mengesan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Mohd Zawawi memberitahu, sebanyak 60 pemeriksaan pelbagai jenis kapal dagang, bot nelayan dan bot pelancong dilakukan dalam operasi kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here