Sebuah lori buruk dirampas dalam serbuan di Johor Jayar, Johor Bahru selepas dijadikan tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran

JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan lori buruk sebagai tempat penyimpanan dadah terbongkar selepas serbuan dilakukan di Johor Jaya di sini hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melakukan serbuan pukul 4 petang pada 25 November lalu.

“Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditangkap bersama-sama sejumlah rampasan dadah.

“Suspek yang ditahan merupakan penjaga stor simpanan dadah sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam serbuan berkenaan polis merampas dadah iaitu seberat 27,258 gram syabu dengan anggaran bernilai RM872,256.

Mohd Sohaimi berkata, dadah yang dirampas itu boleh digunakan 54,516 penagih jika terlepas ke pasaran.

Turut dirampas katanya, sebuah lori yang digunakan sebagai tempat menyimpan dadah.

Katanya, hasil saringan awal mendapati supek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapatinya mempunyai 15 rekod jenayah dan lapan rekod jenayah narkotik.

Menurut beliau, modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan lori sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran.

Mohd Sohaimi memberitahu, kegiatan tersebut sudah dilakukan sejak awal Oktober lalu dan pihaknya masih melakukan siasatan lanjut bagi mengesan ahli sindiket kumpulan itu.

“Suspek ditahan reman selama 14 hari bermula 26 November lalu untuk siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan,” tambahnya.

Beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaita aktiviti pengedaran dadah  di sekeliling mereka menerusi talian hotline 07-386 4222.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here